PLATFORM penstriman Over-The-Top (OTT) UTV terus mengorak langkah memperluaskan pengaruhnya di peringkat antarabangsa apabila menerima sambutan meriah daripada pengunjung pada acara Celebfest yang berlangsung baru-baru ini di Suntec Singapore Convention & Exhibition Centre.
Kemunculan UTV pada festival hiburan dan gaya hidup popular itu nyata mencuri perhatian ramai apabila pengunjung berpusu-pusu ke reruai atau ‘booth’ mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai platform berkenaan yang kini boleh diakses oleh warga Singapura.
Lebih menarik, aplikasi UTV kini sudah boleh ditonton oleh penonton di republik itu dengan setiap kandungan ditawarkan pada harga serendah SGD3.90 sahaja.
Presiden UTV yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan berkata, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan kandungan tempatan Malaysia mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan penonton serantau.
Menurutnya, penyertaan UTV di Celebfest menjadi platform penting untuk memperkenalkan jenama serta kandungan eksklusif mereka kepada peminat hiburan Melayu di Singapura.
“Alhamdulillah, kami sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh pengunjung Celebfest. Ramai yang datang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai UTV dan tidak kurang juga yang terus memuat turun aplikasi kami.
“Ini membuktikan kandungan tempatan kita mempunyai peminat tersendiri di Singapura dan kami berharap UTV dapat menjadi platform yang mendekatkan lagi penonton di rantau ini dengan karya-karya berkualiti,” katanya.
Sepanjang festival berlangsung, pengunjung turut berpeluang menyertai sesi ‘meet and greet’ bersama barisan selebriti popular tanah air termasuk Fattah Amin, Amira Othman, Siti Khadijah Halim, Anna Jobling, Arfie Shah serta Nora Danish.
Namun, antara yang paling mencuri perhatian ialah pelakon muda Siti Khadijah apabila menerima kehadiran peminat paling ramai sehingga ada yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk bergambar bersamanya.
Sesi bertemu peminat bersama Siti Khadijah berlangsung hampir dua jam tanpa henti dengan peminat mula menunggu sejak siang hari bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang bertemu pelakon itu pada waktu malam.
Kehadiran Siti Khadijah juga bertujuan mempromosikan drama terbaharu lakonannya, Takdirnya Cinta yang bakal menemui penonton sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini secara eksklusif di platform UTV.
Sambutan luar biasa yang diterima di Celebfest sekali gus memberi isyarat positif kepada UTV dalam usaha memperluaskan pasaran kandungan digital tempatan ke peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan penonton Nusantara. – HIBGLAM
