‘Dulu kami 6 beranak, kini tinggal mama, saya saja’

MERINDUI suasana berkumpul beramai-ramai, pelakon Zara Zya meluahkan kesayuan mengenang memori manis pada bulan Ramadan ketika keluarganya masih bersatu.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 41, berkata paling tidak dapat dilupakan adalah ketika waktu bersahur semasa zaman kanak-kanaknya yang sarat kemeriahan dan nostalgia.

“Rindu masa kecil dulu. Kalau bulan puasa, mama atau adik-beradik kejutkan bersahur.

“Mama masak macam-macam, dari mengantuk terus berselera (makan) jadinya.

“Meriah betul waktu sahur, satu keluarga berkumpul,” katanya dalam perkongsian di Threads.

Namun, akui pelakon drama Dia Imamku itu, bibit keriangan yang didengari dahulu kini sunyi apabila ada dalam kalangan ahli keluarganya memilih haluan sendiri selepas menginjak dewasa.

“Tapi sekarang, sunyi. Tak sangka, apabila saya besar keluarga saya berpecah.

“Yang dulu setiap hari bertemu muka, sekarang bertahun tak bersua,” ujarnya.

Pada masa sama, Zara turut meluahkan perasaan sebak ketika menggunakan pinggan yang pernah menjadi saksi penyatuan keluarganya dulum

“Hari ini, mama saya suruh pakai pinggan lama dia.

“Bila tengok pinggan tu, saya sedih sebab terkenangkan siapa yang pernah makan atas pinggan tu dulu.

“Kami enam beranak, sekarang cuma saya dengan mama saya saja,” katanya.

Kesedihannya turut dirasai netizen yang rata-rata mengakui berdepan situasi sama seperti aktres terbabit.

“Sama macam saya. Apabila besar, dah kahwin, mak abah dah meninggal dunia keluarga macam dah tak keluarga. Sedih sangat,” tulis seorang pemilik akaun Threads.

Sebelum ini dia pernah menyatakan sudah beberapa tahun berhari raya dengan ibunya sahaja, manakala hubungannya dengan bapanya pula didakwa dingin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok