‘Suka hati tuduh mengandung, aku kahwin pun belum!’

MARUAH diri dipermainkan, penyanyi Iman Troye memberi amaran keras kepada pengendali akaun Threads yang menggunakan identitinya agar memadam hantaran jelik mendakwa dia hamil.

Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 23, berkata, tindakan undang-undang bakal diambil jika status fitnah dan mengelirukan itu tidak diturunkan dalam tempoh 24 jam.

Salam pemilik akaun, kalau tak padam akaun ini dalam masa 24 jam, saya akan buat laporan polis. Terima kasih.

“Suka hati kau saja, (tuduh) tiba-tiba aku mengandung. Jumpa di akhirat,” katanya dalam hantaran di Threads.

Penyanyi lagu Nang itu juga tidak dapat menahan marah kerana penyamar bukan sekadar memfitnah tetapi turut menipu wang orang ramai.

Kau dah lah post cakap aku mengandung, aku ini kahwin pun belum. Siap scam orang lagi letak QR.

“Orang yang komen pun percaya itu saya kenapa? Allahuakhbar. Terang- terang tu akaun palsu,” ujarnya.

Daripada carian, akaun terbabit didapati sudah dinyahaktifkan, manakala hantaran berkaitan dakwaan hamil juga turut dipadam.

Terdahulu, tular di platform Threads kononnya penyanyi itu sendiri mengumumkan berita kehamilannya yang menyebabkan orang ramai keliru.

Penyamar juga dengan berani memuat naik gambar imbasan ultrasound bayi yang kononnya dalam kandungan bagi mengesahkan lagi khabar berkenaan.

Sudah dapat keputusan. Doktor scan memang ada isi (bayi). Siapa doakan anak saya sihat, semoga rezeki lancar,” tulis keterangan gambar berkenaan.

Perkongsian itu mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial apabila ada yang menyangka akaun itu benar-benar milik Iman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok