‘Belum lagi kena menangis, atau adegan tampar-tampar’

NAMA puteri tunggal Rozita Che Wan iaitu Aaisyah Dhia Rana tidak pernah sepi meniti di bibir ramai sejak dilahirkan.

Kedengaran keterlaluan tetapi demikian populariti dan perhatian yang diraihnya apabila bergelar anak kepada selebriti popular.

Baru berusia 12 tahun, Aaisyah sudah muncul dalam beberapa program televisyen sejak lahir sekali gus membuktikan dia sememangnya tidak dapat lari daripada terkena tempias populariti ibunya.

Menyedari anaknya menunjukkan minat dalam dunia seni, Rozita yang mesra disapa sebagai Che Ta tidak pernah menghalang Aaisyah menceburkan diri dalam dunia seni. 

Che Ta memberitahu, minat dan bakat anaknya dalam dunia seni semakin terserlah selepas muncul dalam program TV3, Anak Mama Masak Apa Tu? yang disiarkan Ramadan tahun ini.

“Aaisyah rupa-rupanya tidak kekok beraksi di hadapan kamera sebab pada awalnya saya sangka dia seorang pemalu. 

Sebab itu, saya tidak bagi menceburkan diri dalam bidang seni pada awalnya. Tetapi, apabila muncul dalam program Anak Mama Masak Apa Tu?, dia nampak seronok dan tak malu depan kamera,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon yang sinonim dengan drama Kiah Pekasam itu, dia dan suami juga pelakon, Zain Saidin, 41, akur dengan pilihan kerjaya anak-anaknya namun akan tetap memantau dan memastikan setiap keputusan yang dibuat Aaisyah tidak menjejaskan pelajaran serta kehidupannya.

“Kalau dia suka, saya okey dan ikut sahaja minat anak-anak selagi tidak mengganggu jadual persekolahan. Penggambaran pula perlu ketika musim cuti sekolah, kalau hari ada kelas, tidak dibenarkan.

“Suami saya bertanya sama ada Aaisyah penat tetapi dia jawab okey sahaja dan seronok.

“Lagi pula program seperti ini tidak perlu hafal skrip, santai-santai saja,” ujarnya.

Belum bersedia

Meski menyokong, Che Ta bagaimanapun mengakui masih belum bersedia untuk melepaskan Aaisyah terlibat dalam mana-mana projek yang mengambil jangka masa panjang seperti drama.

Ujarnya, penggambaran yang terlalu lama dikhuatiri boleh memberi tekanan dan beban untuk kanak-kanak seperti Aaisyah yang belum terbiasa dengan kehidupan sebagai seorang artis.

“Kalau berlakon, setakat ini tidak bolehlah. Berlakon tekanannya berbeza dan risau untuk dia hadapi.

“Misalnya, kena babak menangis, ‘shooting’ berbulan-bulan dan sebagainya. Bagi saya, kebajikan kanak-kanak sebagai pelakon di Malaysia setakat ini masih tidak dijaga dengan baik.

Itu belum lagi kena tunggu lama babak sendiri, perlu nak kena menangis atau kena tampar-tampar, jadi mungkin drama tidak lagi, program televisyen saja dulu,” ujarnya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut mendedahkan, anak bongsunya itu pernah dilamar penggiat seni Indonesia, namun permintaan tersebut terpaksa ditolak dengan cara baik.

“Sebenarnya dia pernah dapat tawaran menyanyi dari Indonesia, tetapi kami tolak, mungkin belum tiba masa lagi.

“Tapi Aaisyah memang suka menyanyi dan saya pernah hantar dia sertai kelas vokal bersama penyanyi, Mark Adam. Apa yang dia minat, kami hantar seperti badminton dan kelas piano.

“Cuma buat masa sekarang satu-satulah dulu, kita tengok kemampuan sama ada dia betul-betul bersedia untuk jadi artis atau tidak,” jelasnya seraya menggulung perbualan. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok