SELEBRITI versatil Neelofa mengakui keputusan untuk meninggalkan kemuncak karier demi kehidupan berumah tangga bukanlah satu transisi yang mudah untuk dilakukan.
Kongsi pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor, 37, tempoh berkurung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal perkahwinannya dengan PU Riz diisi dengan pengisian ilmu agama yang membantu membentuk persepsi baharunya terhadap dunia.
“Tahun 2020 sebelum PKP, saya tengah berada di puncak dan hadir ke acara antarabangsa sampai saya cadang nak sewa apartmen di Paris dan rumah di Indonesia.
“Kami dah tengok tempat sebab dah ada agensi di sana. Untuk tukar kepada kehidupan berkahwin dan duduk di rumah, buang segala dunia glamor bukan satu benda mudah buat.
“Kebanyakan orang yang melalui ini akan depresi, tak boleh terima hakikat dan susah move on. Tapi di awal perkenalan dengan Haris, tiada anak dan komitmen tambahan terkurung sebab PKP kami duduk dengan taklim (sesi pembelajaran ilmu agama).
“Banyak hadis-hadis nabi tentang kemahsyuran. Benda itu membentuk kita punya persepsi dan pemikiran untuk lepaskan dengan baik. Tak ada benda yang ‘take over’ selain kata-kata nabi dan apa Allah rakamkan dalam al-Quran,” katanya dalam sebuah audio siar.
Pada masa sama, bekas pengacara program MeleTOP itu turut berkongsi mengenai ketenangan hidup selepas mengambil keputusan memperlahankan karier seni.
“Orang ingat tenang kena ada duit cukup, hidup tersusun, rumah besar dan tiada konflik tapi sebenarnya ketenangan itu datang daripada ketidaksempurnaan hidup.
“Dalam masa sama mengisi kehidupan dengan mengingati Allah, kalau tiada Allah dalam persamaan hidup memang akan huru-hara, anxiety, depresi dan tak tenang.
“Selepas berkahwin walaupun kurang di bawah ‘limelight’, di depan kamera memang jauh berbeza dari segi tenangnya hidup,” ujarnya lagi.
Ibu kepada dua orang cahaya mata itu turut menekankan kepentingan mengimbangi keperluan duniawi dan akhirat bagi mengelakkan kekusutan jiwa.
“Kita cuba sedaya-upaya imbangkan dunia dan akhirat. Kami cuba yang terbaik untuk menyeimbangkan.
“Kalau kejar dunia tapi terlampau banyak sangat serabut akan datang. Kalau dunia dan akhirat ada, semuanya akan okey,” ujarnya.
Sebelum ini, Neelofa merupakan selebriti popular negara yang menjadi duta ‘mahal’ meneroka banyak negara dengan menghadiri pelbagai pertunjukan fesyen jenama mewah antarabangsa.
Namun, sekitar Oktober 2020, dia mengejutkan ramai dengan memilih untuk memakai niqab sepenuhnya.
Tidak lama selepas memakai niqab, Neelofa kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan pendakwah bebas Haris Ismail atau PU Riz pada 27 Mac 2021
Hasil perkahwinan, mereka memiliki dua orang cahaya mata iaitu Bilal, 4 dan Abbas, 3 tahun. – HIBGLAM
