PELAKON Sophia Albarakbah mengakui teruja apabila kualiti lakonannya mula mendapat perhatian sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan hasil kerja terbaik buat peminat.
Dalam masa sama, Sophia, 33, memasang impian agar namanya lebih dikenali menerusi bakat dan kualiti lakonan berbanding kisah-kisah peribadi.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira sebab sebagai pelakon kita nak lakonan kita semakin baik.
Saya pun nak dikenali dengan lakonan bukan benda-benda peribadi. Saya sangat gembira yang kerja keras saya orang dah perasan.
“Ini mungkin permulaan untuk saya memperbaiki lagi lakonan saya dan buat semua orang terkesan dan suka dengan lakonan. Karya seterusnya saya akan bagi lagi terbaik untuk menghiburkan semua,” katanya kepada HibGlam pada tayangan perdana filem Amira Amira, kelmarin.
Selain itu, pelakon drama From Saga With Love itu enggan terus terperangkap dalam zon selesa atau terikat dengan karakter yang serupa dalam setiap naskhah.
“Sudah semestinya karya yang lagi impak dan berat akan membuatkan penonton lagi suka tapi sebagai pelakon sangat susah nak bawa watak berat, emosi akan sentiasa terkesan dalam kehidupan seharian.
“Itu pengorbanan setiap pelakon untuk berjaya dalam karier, watak-watak begitu saya memang kena bawa. Tapi sudah semestinya saya tak nak terikat dengan karakter sama.
Saya nak teroka watak-watak lain juga seperti aksi, ‘period piece’ macam zaman dulu atau orang gila. Kita tengok apa yang diberikan nanti, pengurus saya tahu watak yang terbaik bagi saya,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Sophia menerima pujian positif daripada peminat mengenai lakonannya yang mempunyai penambahbaikan. – HIBGLAM
