TTMM2 pertarungan jual bakat atau pentas drama?

PROGRAM realiti hiburan Talk To My Manager 2 (TTMM2) kini semakin menghampiri pentas akhir, namun apa yang lebih menarik perhatian penonton bukan sahaja persembahan peserta, malah pelbagai drama, strategi dan persaingan yang semakin sengit antara pengurus serta artis yang bertanding.

Sejak mula bersiaran 19 April lalu, TTMM2 berjaya mencuri perhatian dan dilihat lebih meriah berbanding musim pertama apabila dibarisi nama-nama popular seperti Datuk Seri Vida bersama Cik B, Datuk A. Aida bersama Azeva, Adira bersama Anggrek serta beberapa lagi pasangan yang mempunyai karakter tersendiri.

Sepanjang lapan minggu pertandingan, penonton menyaksikan pelbagai emosi dan drama dipertontonkan di atas pentas serta di sebalik tabir.

Dalam pertandingan yang hanya berbaki beberapa episod sebelum final, drama pertandingan turut memuncak apabila beberapa peserta pilihan penonton tersingkir lebih awal daripada jangkaan.

VIDA sering menjadi sorotan peminat setiap kali beraksi.

‘Permainan’ orang kaya

Antaranya pasangan Linda Jasmine dan Ratu yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas TTMM2 selepas gagal memikat hati juri pada minggu keenam.

Menjelang minggu-minggu terakhir pertandingan, pelbagai topik perdebatan dalam kalangan netizen di pelbagai platform media sosial.

Minggu ketujuh khususnya menjadi antara episod yang paling panas apabila penyanyi tersohor Misha Omar tampil sebagai juri jemputan.

Ulasan jujurnya yang menyentuh tentang konsep ‘permainan orang kaya’ berkenaan strategi dan persembahan mendapat perhatian ramai.

Misha antara juri jemputan yang berani bersuara di pentas TTMM2.

Walaupun disampaikan dalam nada berseloroh, kenyataan itu dianggap sangat tepat dan dipersetujui oleh netizen.

Inilah permainan orang kaya, Cik B patut bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak Datuk Seri Vida,” kata Misha.

“Sangat tajam dan pedas, namun itulah hakikatnya yang berduit disanjung,” tulis seorang netizen di Threads.

Apatah lagi Azeva dan Anggrek yang sepatutnya tersingkir diselamatkan pada minggu lalu.

Meskipun itulah realiti dan kenyataan yang harus ditelan, tetapi kehadiran mereka mewarnakan lagi pertandingan kerana terlebih dahulu popular dan bijak dalam membikin konten sebelum menyertai TTMM2.

Harga sebuah seni

Di sini, penonton dihidangkan realiti harga sebuah seni yang sememangnya tidak murah yang mencakupi elemen pakaian, solekan, penari dan persembahan secara keseluruhan.

Tidak kurang hebat, A. Aida dan artisnya, Azeva sering menjadi fokal perbualan ramai hampir setiap minggu.

Cuma yang tidak berapa bagus, pengurus-pengurus dilihat seakan-akan tidak mahu menerima sebarang komen yang ‘mengkritik’ dan tidak dapat mengawal emosi di atas pentas.

Memang benar, ini sekadar program hiburan dan yang bertanding itu anak kesayangan masing-masing. Meski ditabur wang beribu setiap minggu untuk persiapan persembahan, di hujungnya ini adalah sebuah program pertandingan nyanyian.

Sekaya mana dan semampu mana para ibu bapa, akhirnya bakat yang akan dinilai dan yang akan memanjangkan hayat karier anak mereka jika mahu meneruskan langkah dalam bidang seni.

Persoalan utama yang bermain di fikiran penonton adalah sama ada peserta pilihan akan berjaya mengekalkan momentum atau bakal berlaku lagi kejutan yang tidak dijangka?

Tepuk dada, tanyalah selera. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok