ANAK pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam memaklumkan keadaan abangnya iaitu Andre Mikhail yang bertarung dengan kanser paru-paru berada dalam keadaan kritikal.
Ujar Adrian, 18, Andre kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan pernafasan oksigen dan tidak lagi mampu memberikan sebarang respons fizikal.
Abang kritikal, dia sedang nazak.
“Dia bergantung kepada oksigen. Doktor kata dia boleh dengar lagi cuma tak respons,” katanya dalam temu bual bersama Melodi.
Pada masa sama, anak kedua itu memberitahu keadaan terkininya yang sukar bergerak kesan kanser tulang yang dihidapinya.
“Alhamdulillah, badan saya okey lagi, nak jalan susah.
Ada sakit-sakit, kaki bengkak sebelah tapi saya masih boleh tidur, berjalan dan duduk,” katanya lagi.
Selain itu, Adrian menzahirkan ucapan terima kasih buat semua individu yang menitipkan sumbangan dan doa buat mereka dua beradik.
“Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak, kami tak mampu nak balas semua jasa baik kalian yang mendoakan kami.
“Semoga Allah membalas empat kali ganda dengan segala kebaikan di dunia dan akhirat.
Saya doakan yang menderma dan mendoakan kami dapat perlindungan daripada Allah SWT dari api neraka, dirahmati di dunia dan akhirat, dapat syurga Allah serta dipermudahkan segala urusan,” ujarnya.
Semalam, Amyza, 51, merayu agar seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesihatan anak sulungnya yang difahamkan semakin kritikal di Hospital Kuala Lumpur disebabkan kanser paru-paru.
Tahun lalu, Amyza mengesahkan Andre, 20, yang juga anak sulungnya menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Lebih mengejutkan ramai, pada Ramadan pertama dia sekali lagi diuji dengan perkhabaran menyayat hati apabila anak keduanya, Adrian Adam disahkan menghidap kanser tulang. – HIBGLAM
