4
ENGGAN membiar spekulasi liar terus bertebaran, pelawak Amir Raja Lawak menepis dakwaan kononnya dia kini sudah tidak laku dan langsung tiada tawaran kerja dalam industri seni.
Amir atau nama penuhnya Mohammad Amirullah Azmi, 37, juga menitipkan nasihat agar orang ramai tidak sewenang-wenangnya melontarkan kata-kata negatif terhadap punca rezeki orang lain.
Bila pula tiada kerja? Alhamdulillah, baru sahaja menjalani penggambaran, raya nanti keluar cerita Kampung Gatal di TV3.
“Filem pun ada tunggu tayang, tajuk Anak Mami Dalca Cinta Kerabu, baru menjalani penggambaran juga.
“Tak baik cakap bukan-bukan tau sebab rezeki ini Allah yang bagi. Janganlah bercakap seolah-olah awak yang bagi rezeki,” katanya membalas komen seorang individu.
Pelakon filem Geng Jin itu turut membetulkan salah fakta yang dilemparkan individu terbabit berhubung sejarah penyertaannya dalam program realiti Raja Lawak.
“Menang masa bila? Raja Lawak musim ketiga itu Sepah yang menang, bukan saya.
“Awak bercakap pun tak tahu hujung pangkal. Kalau nak sentuh fasal begitulah kehidupan, fikir dan selesaikan masalah sendiri sajalah ya.
Tak perlu nak menghakimi kehidupan orang. Barulah nampak terpelajar sikit,” tegasnya.
Sebelum ini, Amir memuat naik tangkap layar dalam Instagram yang memaparkan komen sinis seorang individu menerusi YouTube yang mendakwa kerjaya seninya sudah berakhir.
“Artis dah tiada kerja. Begitulah kehidupan, dah tak lawak pun, menang dulu nasib saja,” ujar individu terbabit.
Selain aktif dalam bidang hiburan, Amir juga dikenali sebagai usahawan yang gigih mengusahakan perniagaan gerai ayam goreng di Kelantan.
Dia juga pernah menjalankan perniagaan menjual air jagung di sekitar Kajang, Selangor pada 2021. – HIBGLAM
