Syamim Freida reda belum dikurniakan zuriat

MESKIPUN belum rezeki memiliki zuriat selepas hampir sedekad mendirikan rumah tangga, pelakon Toh Puan Syamim Freida tidak menganggap isu cahaya mata adalah topik sensitif baginya.

Menurut pemilik nama lengkap Syamim Mohd. Farid, 35 dia kini berada dalam fasa jiwa yang cukup tenang dan reda dengan ketentuan Ilahi.

“Sejujurnya saya tak sangka video saya menangis melihat gambar imbasan ultrasound bayi kawan saya akan tular.

“Ada yang menyangka topik ini mungkin sensitif bagi saya tapi sejujurnya, tidak.

“Saya sudah sampai tahap reda. Saya percaya pada kententuan waktu Allah dan perancangan-Nya.

“Apa yang tertulis untuk saya tidak akan pernah terlepas daripada saya dan apa yang terlepas daripada saya memang bukan ditakdirkan untuk saya,” katanya dalam InstaStory.

Pada masa sama, Naib Juara Dewi Remaja 2014/15 itu turut melahirkan rasa syukur atas keperihatinan ramai yang tidak putus-putus menitipkan doa buat dirinya.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Saya baca setiap doa kalian dalam diam dan saya sangat menghargainya.

“Semoga Allah membalas kebaikan kalian berlipat ganda,” ujarnya.

Tambah pelakon drama Lelaki Macam Dia itu, dia sentiasa menumpang gembira atas khabar gembira daripada keluarga dan rakan malah menegaskan reda bukanlah satu titik noktah untuk berhenti berharap.

“Saya benar-benar tumpang gembira apabila rakan-rakan dan keluarga bakal menimang cahaya mata. Kadang-kadang, sayalah orang pertama yang mereka kongsi berita gembira itu dan saya meraikan dengan sepenuh hati.

“Reda tidak bermaksud kita berhenti berharap tetapi kita menyerahkan pengakhiran segala urusan kepada Allah dengan jiwa yang tenang.Bukan semua wanita akan merasa terkesan dengan kegembiraan orang lain.

“Ada antara kami yang belajar untuk menyimpan harapan dan dalam masa yang sama tetap merasakan kebahagiaan. Allah Maha Mengetahui dan itu sudah memadai,” ujarnya lagi.

Untuk info, Syamim mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Selangor iaitu Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Al-Hajj pada 19 Mac 2016. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok