PELAWAK, Lan Pet Pet memohon maaf kepada pelakon terkenal, Nur Fazura atas ketelanjurannya bergurau dengan aktres itu sewaktu sesi ‘live’ ketika sama-sama mempromosikan sebuah jenama pakaian di Johor, semalam.
Menurut Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 57, dia tiada niat untuk menyinggung perasaan aktres itu.
“Untuk Fazura, Abang Lan minta maaf daripada hujung rambut sampai hujung kaki. Dalam tidak sedar ketika sedang melawak ada perkara yang menyentuh hati dan perasaan Fazura.
“Kepada semua peminat Fazura dan kumpulan Senario, demi nama Allah Abang Lan tak ada niat apa pun. Abang hanyalah manusia biasa.
“Sekali lagi saya minta maaf. Saya terlepas cakap dan suasana ketika itu saya pun tak sedar. Maafkan saya,” katanya dalam sebuah video yang dimuatnaik dalam akaun media sosial rasminya.
Terdahulu tular dalam media sosial video Lan berbual bersama Fazura ketika sesi siaran langsung pelawak itu di mana dia membuat lawak berbaur lucah.
Ada netizen bertanya bilakah aktres itu akan berkahwin lagi? Namun Lan menjawab dengan jawapan yang kurang sopan.
“Hangpa (kalian) tunggu la sekejap. Baru dua tahun (tempoh Fazura bercerai)…tunggulah dua tiga tahun, bagi…,” katanya.
Dirasakan tidak sesuai, netizen terutamanya peminat-peminat Fazura mengecam tindakannya yang biadab dan tidak menghormati Fazura sebagai wanita yang berstatus ibu tunggal.
Malah ada netizen yang menggesa agar namanya dilucutkan sebagai duta jenama pakaian tersebut di atas ketelanjurannya. – HIBGLAM
