‘Anugerah terbesar kami’ – Eyka Farhana umum hamil

HAMPIR dua tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Eyka Farhana berkongsi khabar gembira apabila mengesahkan dirinya kini sedang berbadan dua dan bakal menimang cahaya mata pertama bersama suami tercinta yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid.

Berita penuh makna itu dikongsikan Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Wan Sarmizi, 30, menerusi satu hantaran di media sosial, sekali gus mengundang senyuman serta doa ramai.

“Daripada dua hati menjadi tiga.

Masya-Allah Tabarakallah, anugerah terbesar kami sedang dalam perjalanan,” katanya dalam Instagram.

Lebih manis, pelakon Anak Perjanjian Syaitan itu turut memuat naik sebuah video romantis memaparkan dirinya bersama Akhyar menjalani sesi fotografi di tepi pantai sebagai simbolik menyambut kehadiran ahli baharu dalam keluarga kecil mereka.

Menerusi rakaman tersebut, Eyka tampil anggun dalam busana rona putih sambil jelas mempamerkan perut kian membesar, selain memperlihatkan foto imbasan bayi mereka.

Rata-rata netizen tidak ketinggalan menitipkan ucapan tahniah serta doa buat pasangan itu.

“Alhamdulillah, semoga dipermudahkan urusan dan ibu serta bayi sentiasa sihat,” tulis seorang netizen.

Cantiknya Eyka, aura ibu mengandung memang terserlah,” komen pengguna media sosial lain.

“Rezeki paling indah, tahniah buat Eyka dan Akhyar,” ujar seorang peminat.

Untuk rekod, Eyka Farhana sah bergelar isteri kepada Akhyar Rashid pada 2 Mei 2024 dalam sebuah majlis tertutup. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok