Insomniacks, Yonnyboii lawan buli dengan Bersuara

BAND fenomena Insomniacks kini tampil dengan naskhah lebih berani dan agresif menerusi single terbaharu berjudul Bersuara.

Menariknya, karya kali ini menyaksikan kolaborasi sulung mereka bersama penyanyi, Yonnyboii yang membawa mesej penting mengenai keberanian mempertahankan harga diri dan menentang gejala buli.

Menurut Insomniacks, Bersuara bukan sekadar lagu, sebaliknya sebuah luahan daripada pengalaman peribadi tentang rasa tidak didengari dan tekanan emosi yang sering dipendam.

Lagu ini tentang berdiri untuk diri sendiri, terutama apabila berdepan dengan penindasan atau buli.

“Ini tentang tahu nilai diri dan berani bersuara,” katanya dalam satu kenyataan.

Berbeza dengan identiti balada yang sinonim dengan mereka sebelum ini, Bersuara menampilkan sisi muzik yang lebih ‘heavy’ dan gritty, sekali gus menandakan fasa baharu dalam evolusi muzik mereka.

Sementara itu, Yonnyboii yang sering dikaitkan dengan genre rap, kini tampil mempertaruhkan vokal berteraskan rock dan alternatif dalam kolaborasi ini.

“Saya sebenarnya lebih lama menjiwai muzik alternatif berbanding rap. Jadi masuk ke genre rock, saya rasa lebih selesa.

“Ini merupakan fresh start (permulaan baharu) untuk saya kongsi sisi lain dengan pendengar. Lagu ini terhasil apabila saya rasa suara tidak didengari oleh sekelompok orang.

Ini tentang meluahkan apa yang dipendam kerana jika disimpan, sakitnya lebih mendalam,” katanya.

Menerusi naskhah ini, kedua-dua artis berharap dapat menjadi platform buat pendengar untuk lebih berani mengekspresikan perasaan dan melepaskan tekanan emosi.

Bersuara boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok