SAYA mohon sedikit privasi dan ruang.”
Demikian respons penyanyi Amira Othman apabila sering berdepan dakwaan berbadan dua selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fattah Amin.
Kekal dengan kenyataan sama, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 33, akan berkongsi berita baik kepada umum sekiranya tiba masa sesuai.
Sebelum kahwin orang tanya pasal kahwin, dah kahwin orang tanya pasal mengandung. Kalau ada waktu bersesuaian pasti saya akan kongsikan. Saya mohon sedikit privasi dan ruang.
“Saya minta doa baik-baik daripada semua peminat dan pengikut.
Insya-Allah benda baik kita akan kongsi tapi pastinya kita juga perlukan ruang dan kehidupan seperti orang lain. Tiba masanya saya akan kongsikan.
“Meskipun menjadi ‘public figure’ kita pun ada kehidupan macam orang lain juga,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran Amber 2026, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, pelantun lagu Hati-Hati itu mengakui tidak penat apabila perkhabaran bakal menimang cahaya mata dibangkitkan berkali-kali.
“Bagi saya tak bolehlah nak penat sebab ini memang lumrah sebagai ‘public figure’. Kadang-kadang soalan saya dah jawab pun akan ditanya lagi.
Sama macam kita buat siaran langsung TikTok walaupun dah jawab akan tanya lagi soalan yang sama.
“Bagi saya itu biasa, kalau kita tak nak orang tanya soalan begini mungkin kita tak patut berada dalam industri,” jelasnya.
Sebelum ini, ramai mendakwa isteri kepada pelakon Fattah Amin itu hamil selepas kelihatan ‘baby bump’ dalam beberapa video.
Pernah ditebak hamil selepas dimasukkan ke wad, Amira menyifatkan spekulasi yang bertebaran sebagai satu kelaziman.
Spekulasi turut tercetus apabila Fattah berkongsi khabar duka apabila Amira tidak dapat menyertainya ke Seoul berikutan isu kesihatan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Pasangan terbabit bergelar suami isteri serentak hari ulang tahun ke-35 bintang filem Pendekar Awang itu pada 14 September tahun lalu. – HIBGLAM
