USAHAWAN dan pempengaruh sensasi, Ojen akui dirinya berasa lebih tenang selepas memotong pendek rambut beberapa hari lalu.
Menurut Ojen atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahza Mohd Rosli, 31, dia sudah lama berkeinginan untuk memotong rambut pendek.
Dah lama sebenarnya saya nak potong kerana mahukan penampilan yang lebih segar tetapi tidak kesampaian. Saya rasa asbab nasihat dan teguran orang ramai juga membuatkan saya potong rambut.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada orang yang sudi menegur saya. Ramai orang ingat saya tak boleh terima teguran. Tetapi saya lakukan perlahan-lahan.
“Saya pakai serban orang kata saya mempermainkan agama. Sebenarnya saya pakai serban untuk jadikan benteng agar saya tidak menjadi keterlaluan kerana saya yang dulu lebih teruk daripada yang sekarang,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran wajah baharu Wisma D’Herbs, baru-baru ini.
Tambahnya lagi antara sebab lain dia memotong rambut adalah kerana ingin menggembirakan ibunya yang kini sedang berjuang dengan sakit kanser.
Saya ingin membahagiakan ibu saya. Kalau dengan asbab saya potong rambut ini boleh buat ibu gembira dan sembuh, biarlah saya lakukan.
“Apa yang paling penting untuk saya adalah restu dan reda seorang ibu. Biarlah rezeki yang saya dapat adalah melalui doa seorang ibu.
“Buat masa ini juga saya akan tumpukan perhatian untuk menjaga ibu. Jadi ada beberapa acara melibatkan Kunafa Aiwahh yang saya tak dapat nak turun padang,” katanya.
Siapa sangka selepas memotong pendek rambut, rezeki Ojen datang mencurah-curah apabila dia dihujani tawaran menjadi model dan duta Baju Melayu.
“Tak sangka juga banyak jenama baju raya mula tawarkan saya jadi duta dan model mereka.
Mereka hubungi saya tanya harga untuk jadi duta. Sebelum ini saya memang mencari rezeki dengan menjual kunafa sahaja. Insya-Allah saya akan pertimbangkan. Nantikan,” katanya.
Terdahulu tular dalam media sosial apabila penampilan serta kunafa Ojen dikritik pempengaruh asal Yaman, Tareq Fiq. Susulan itu Ojen mengambil tindakan menyaman pempengaruh itu kerana menjejaskan reputasi jenama bisnesnya. – HIBGLAM
