‘Puteri Balqis genius, bicaranya matang seperti berusia 30 tahun’

ENGGAN mencampuri kontroversi menimpa Puteri Balqis, pelakon Aiman Hakim Ridza menyifatkan remaja itu sebagai figura luar biasa dengan tahap kematangan serta kebijaksanaan mendahului usia sebenar.

Ujar Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza Abdoh, 37, dia kagum melihat pembawaan diri Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish itu yang jauh lebih dewasa berbanding rakan seusia.

“Sejujurnya, dia sangat bijak. Saya benar-benar bangga dengannya. Walaupun saya tahu latar hidupnya bukan mudah, namun kejayaannya hari ini sesuatu luar biasa.

Bagi saya, Aqish seorang genius untuk umur sebegitu. Bukan sahaja dalam aspek sudut lakonan, bahkan keperibadiannya yang sangat menjaga adab serta menghormati orang sekeliling.

“Cara dia berbual pun matang, sampai kita rasa seperti bercakap dengan individu berusia 30 tahun,” katanya kepada HibGlam.

Tambah bintang Bad Cop itu, tahap komitmen ditunjukkan Aqish di lokasi penggambaran ketika bergandingan dengannya dalam drama Sebelum Titik Nokhtah sebelum ini jarang dapat dilihat pada pelakon remaja lain.

Tak ramai mampu beri komitmen seperti itu. Kalau saya di usia dia dahulu, belum tentu saya boleh setenang dan sematang itu.

“Dia sangat profesional dan perkara sebegini wajar kita banggakan,” ujarnya ketika ditemui di set penggambaran drama Flat Simpang Satu, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aiman bakal muncul dengan drama baharu, Flat Simpang Satu yang menyaksikannya menjayakan watak Farook, seorang pekerja di pusat pemprosesan ayam.

Menurutnya, karakter itu merupakan usahanya untuk keluar daripada bayangan watak lelaki kaya atau ‘putera’ yang sinonim dengan dirinya sebelum ini.

“Saya mahu lari daripada stereotaip tersebut. Farook digambarkan sebagai lelaki biasa, bekerja keras dan menyimpan rahsia daripada isterinya sehingga mencetuskan konflik rumah tangga.

Sebagai pelakon, saya perlu berani mencuba watak luar zon selesa.

“Kalau diberi peluang selepas ini, saya teringin bawa karakter dalam naskhah sains fiksyen. Mungkin jadi angkasawan pula,” kongsinya.

Selain Aiman, naskhah itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Nadiya Nissa dan Kila Fairy – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok