Michael Ang halalkan hutang bapa kandung Puteri Balqis

PENGARAH dan penerbit Michael Ang memaklumkan tiada keperluan untuk pelakon Puteri Balqis memohon maaf kerana tidak pernah melakukan sebarang kesalahan terhadapnya.

Michael berkata, kemelut yang berlaku hanyalah disebabkan salah faham melibatkan beberapa pihak dan mereka tidak pernah bersengketa sebelum ini.

“Kepada Balqis, tiada sebarang kesalahan dan tiada keperluan untuk memohon maaf kepada saya.

“Perkara ini hanyalah satu salah faham dan tidak melibatkan apa-apa isu lain,” katanya dalam Instagram.

Dia juga memberitahu tidak akan menuntut sebarang hutang yang pernah dilakukan bapa kandung Puteri Balqis selain enggan sebarang isu diperdebatkan lagi selepas ini.

“Berhubung perkara pinjaman yang melibatkan bapa awak, saya telah melupakannya dan menghalalkannya selepas mengetahui apa yang telah awak sekeluarga lalui.

“Anggap perkara ini selesai dan tidak perlu difikirkan lagi.

“Oleh itu, tiada apa-apa yang perlu dibangkitkan lagi. Semoga hubungan kita kekal baik, terima kasih,” jelasnya.

Sejak semalam, Michael antara selebriti tanah air yang turut terkena tempias selepas namanya dipetik pelakon, Janna Nick berkaitan pertelingkahan dengan Puteri Balqis dalam media sosial.

Sementara Puteri Balqis pula menegaskan hubungannya dengan Michael tidak mempunyai sebarang masalah dan memohon maaf kerana turut terbabit dalam pertelingkahan dengan Janna. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok