Semua termasuk yang menangguk di air keruh, terima kasih – Kamal Adli

PELAKON Kamal Adli berterima kasih kepada orang ramai kerana tidak berhenti mendoakan perkara yang baik buat dirinya sepanjang melalui tempoh kemelut rumah tangga dengan bekas isteri, Uqasha Senrose.

Menurut pemilik nama penuh Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, meski senyum terukir di bibir, dia mengakui dirinya bukanlah individu yang sentiasa kuat dalam berdepan dengan dugaan hidup.

“Saya baca setiap komen positif daripada kalian. Terima kasih banyak-banyak.

“Terima kasih kepada yang beri semangat, memahami situasi, bijak berbelanja, tahu menangguk di air keruh, kacak dan cantik.

“Sejujurnya, saya bukanlah kuat. Tapi saya perlu kelihatan kuat kerana anak perempuan, Hawra Uqaira pandai ‘stalk’ saya,” coretnya menerusi Threads.

Katanya, dia sangat menghargai setiap keprihatinan yang diberikan orang ramai terhadapnya.

“Ikhlas dari hati, saya sayang kalian semua. Yang membenci pun tetap saya sayang.

“Kerana daripada benci, boleh jadi sayang, bukan?” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia juga turut memuat naik video memaparkan momen bahagianya apabila berpeluang meluangkan masa dengan anak perempuannya.

Sementara dalam hantaran berbeza, Kamal sempat menitipkan pesan agar tidak mudah menjatuhkan hukum dengan setiap perkara yang dicanang dalam media sosial.

“Kecoh Threads ya, ingat, kita hanya baca dan jangan menghakimi sebab itu masalah mereka.

“Kita perlu harmonikan suasana dalam Threads ini biar aman.

“Allah SWT sayang kalau kita tenang, lagi pun kalian semua comel, doa yang baik-baik saja,” katanya lagi.

Terdahulu, Kamal dalam satu temu bual gembira apabila berpeluang menghabiskan masa dengan Hawra sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Kamal dan Uqasha akhirnya sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun lapan bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok