‘Saya sudah 56 tahun, garis di muka perkara biasa’

USIA emas tidak sesekali mendorong penyanyi popular, Fauziah Latiff untuk membuat sebarang prosedur kosmetik pada wajahnya.

Fauziah atau nama lengkapnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff 56, sebaliknya bersyukur dengan rupa parasnya ketika ini seiring peningkatan usia.

Buat masa ini saya tak berani nak cakap. Setakat ini alhamdulilah, saya terima seadanya keadaan diri saya. Saya masih okey. Lagipun saya takut nak buat semua prosedur itu.

“Selagi boleh bertahan dan tiada kemudaratan, it is what it is. Nanti dululah. Kalau saya nak buat pun, lebih baik saya buat gigi saya dulu,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert 4 Decades Fauziah Latiff, di sini, semalam.

Jika sesetengah orang takut dihambat dengan tanda-tanda penuaan terutamanya garis kedut di wajah, tetapi bagi pelantun lagu Enggan itu, dia tidak pernah takut dikejar tua.

Saya sudah berusia 56 tahun. Garis-garis di wajah itu adalah perkara biasa. Terutamanya bila pakai mekap lagi jelas kelihatan. Sebab itu saya lebih suka tidak memakai alat solek kalau tidak bekerja,” jelasnya.

Biarpun sudah mencecah usia 50an, namun kejelitaan Fauziah tidak pernah luntur dek masa. Dia masih kelihatan anggun dan bermaya.

Ditanya rahsia penjagaan wajahnya, kata Fauziah dia tidak mempunyai sebarang rahsia atau penjagaan khusus, sebaliknya hanya membuat rutin penjagaan asas.

Cuma saya akan urut wajah saya setiap kali saya melakukan rutin penjagaan wajah. Ia menjadi untuk saya. Pemakanan juga harus dijaga.

“Selain itu saya melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas dan sebagainya. Saya tiada pembantu rumah. Saya lakukan semuanya sendiri,” katanya yang tinggal berdua bersama ibu tercinta.

Dalam perkembangan lain, Fauziah bakal muncul dengan konsert solo pertamanya selepas empat dekad diberi nama Konsert 4 Decades Fauziah Latiff yang akan berlangsung pada 9 Mei 2026 bertempat di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok