MEMILIH menua secara alami, pelakon Datin Seri Maria Farida menolak untuk melakukan prosedur kecantikan menggunakan jarum mahupun mengubah keaslian wajah semata-mata mahu nampak muda.
Maria atau nama lengkapnya Maria Farida Atienza berkata, dia hanya melakukan rawatan wajah asas memandangkan keadaan kulitnya yang sensitif terhadap bahan tertentu.
“Saya sebenarnya tidak begitu suka memakai produk penjagaan kulit. Saya hanya mendapatkan rawatan wajah di pusat kecantikkan yang menaja saya.
Namun prosedur yang saya lakukan hanya rawatan biasa, bukan jenis yang melibatkan cucuk sana sini. Bagi saya, menua secara semula jadi itu lebih baik berbanding cucuk muka hingga kelihatan bengkak dan pelik.
“Lebih baik kita hargai apa yang Allah kurniakan selain memanjakan kulit secara alami. Saya tak kisah pun apabila ketawa, semua boleh nampak kedutan di mata dan sebagainya.
Kita kan punya teknologi canggih, ada ‘filter’ yang boleh nampak cantik, kulit tegang dalam gambar. Lebih baik begitu daripada cucuk sana sini,” katanya ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Pemuja di TGV The Starling Mall, semalam.
Menurut wanita berusia 57 tahun itu, memang ramai menuduhnya melakukan operasi pada wajah untuk kelihatan sentiasa awet muda namun perkara tersebut tidak diendahkan.
Mungkin faktor genetik juga memberi kesan. Saya bersyukur kerana ahli keluarga saya semuanya awet muda. Ibu saya, arwah nenek dan di sebelah keluarga ayah termasuk dari Filipina, semuanya nampak tak dimamah usia.
“Saya sangat bersyukur dengan kelebihan itu malah rasa tidak mengapa untuk melalui proses peningkatan umur ini seadanya,” ujarnya.
Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang mengatakan dirinya masih seksi, Maria menjelaskan cara berpakaian yang dipilih adalah untuk kepuasan diri sendiri, bukan mahu menarik perhatian ramai.
Tentang orang yang berkata saya masih seksi, saya bergaya untuk diri sendiri, bukan untuk orang lain. Suami juga bagi lampu hijau. Selagi suami saya okey, saya okey. Saya tidak berpakaian untuk memuaskan hati sesiapa.
“Apabila orang kata saya seksi, saya tidak rasa pun, biasa sahaja. Saya tidak faham, tetapi mungkin setiap orang ada pendapat masing-masing. Jika mereka mahu menghentam saya, tidak mengapa,” katanya.
Maria berkata, dia sudah lali dengan kecaman dan komen negatif sejak terbabit dalam industri seni lebih tiga dekad lalu sekali gus memilih tidak membalas atau melayan kritikan.
Saya tidak membalas komen, tidak sekat sesiapa, cuma baca sahaja sepintas lalu kerana kecaman seperti ini sudah saya lalui berpuluh-puluh tahun. Jadi lama-kelamaan, saya anggap biasa,” ujarnya.
Mengenai filem seram yang bakal ditayangkan pada 22 Januari ini, Maria teruja beraksi dengan ramai pelakon hebat termasuk Qi Razali, Yasmin Hani, Nam Ron dan Datuk Hilal Azman.
“Saya jarang muncul sebab nak kerja dengan pasukan yang menyeronokkan. Mereka ini saya kenal dan skrip juga bagus, jadi saya ambil peluang ini,” ujarnya. – HIBGLAM
