‘Maaf ambil masa lama untuk buat konsert, saya takut…’

PENYANYI Fauziah Latiff memohon maaf kepada peminat kerana terpaksa menunggu selama empat dekad untuk menontonnya beraksi dalam sebuah konsert.

Namun kini pengikut setia penyanyi yang mesra dengan panggilan Jee itu boleh menarik nafas lega kerana akhirnya impian untuk melihat idola kesayangan mereka menjayakan konsert bakal menjadi kenyataan.

Fauziah bakal beraksi dalam Konsert 4 Decades Fauziah Latiff anjuran Ideatelier yang akan berlangsung di Dewan Plenary KLCC  pada 9 Mei 2026.

Menurut Fauziah atau nama lengkapnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 56, sebagai individu cerewet, dia sangat menitikberatkan setiap aspek dalam penganjuran sesebuah konsert sehingga takut andai tidak dapat memuaskan hati peminatnya.

“Saya minta maaf banyak-banyak kerana ambil masa yang lama kerana saya takut tak dapat nak puaskan hati semua.

Bila penganjur iaitu Ezuwan Ismail datang kepada saya dan bentangkan ideanya sejujurnya saya terkedu. Dia datang siap dengan segala perancangan yang sudah tersedia.

“Selepas itu saya ambil masa untuk fikir sampai tak dapat tidur malam. Bila difikirkan semula, saya rasa sudah tiba masanya saya balas jasa peminat yang membesar dengan lagu-lagu saya. Saya mahu sama-sama mengimbau kenangan bersama mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert 4 Decades Fauziah Latiff, hari ini.

Ditanya pernahkan timbul rasa ralat dalam hatinya kerana tidak pernah menganjurkan konsert sebelum ini, kata pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu, dia tidak pernah berlaku.

“Sejujurnya tak pernah rasa ralat. Memang sebelum ni ada sahaja tawaran untuk menganjurkan konsert. Tetapi saya takut kerana ia merupakan satu tanggungjawab besar yang bukan melibatkan diri saya sahaja tetapi setiap orang termasuklah komposer dan pemuzik,” jelasnya.

Sementara itu, Ezuwan Ismail selaku penganjur mengakui sudah lama menantikan konsert idolanya itu.

Menitis air mata saya bila mendengar Kak Jee mendendangkan lagu Kau Merubah Segalanya tadi. Sebagai peminat, saya sendiri ternanti-nantikan konsert daripada Kak Jee.

“Jadi bila saya sudah bergelar penganjur konsert, saya rasa inilah masanya untuk saya sendiri menganjurkan konsert untuk Kak Jee.

“Alhamdulillah bila saya kemukakan cadangan kepadanya, dia terima. Kami pun dah lama kenal sejak awal pembabitan saya sebagai pereka fesyen lagi,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok