Rehat dulu Noh, jangan buat persembahan – Siti Nurhaliza

NUN jauh di Dubai, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sempat menitipkan pesanan buat penyanyi Noh Salleh yang baru menjalani pembedahan tulang belakang agar berehat seketika.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, berharap vokalis kumpulan Hujan itu tidak menyanyi dalam masa terdekat ini sehingga kondisinya kembali pulih.

Semoga cepat sembuh Noh. Rehat dulu, jangan buat persembahan,” tulisnya dalam ruangan komen di hantaran Noh di Instagram.

Noh atau Mohammad Noh Salleh, 40, pula membalas titipan kata-kata nasihat tersebut dengan ucapan terima kasih.

Menerusi ruangan komen, ramai pengikut mengusik dan mengadu kepada Siti Nurhaliza mengenai kemunculan Noh di sebuah acara, hujung minggu ini.

Hai Tokti (Siti), saya nak mengadu dia (Noh) ada buat show (persembahan) di Bangi Sabtu ini. Jangan bagi dia menyanyi, petik gitar saja,” kata netizen.

“Nanti Tokti datang saja la, jadi pengawas,” usik seorang pemilik akaun Instagram lain.

Ketika ini penyanyi nombor satu negara itu bercuti di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa serta anak-anak mereka usai Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.

Noh juga antara penyanyi undangan persembahan mega tersebut selain Umairah serta penghibur Indonesia, Cakra Khan.

Terdahulu, bapa kepada seorang anak itu menjalani pembedahan di Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKMSC) akibat masalah saraf yang mengakibatkan kebas tangan dan sakit belakang kronik.

Keadaan itu menjejaskan aktiviti hariannya sekali gus memerlukan pembedahan dilakukan di belakang peti suara yang turut memberi risiko terhadap vokalnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok