Bila berani berkongsi, kena sedia terima reaksi orang – Syafiq Kyle

PELAKON Syafiq Kyle mengakui hubungan rumah tangganya bersama isteri, Mimi Lana dibina atas prinsip saling mengingatkan, terutama melibatkan perkongsian dalam media sosial.

Ujar Syafiq atau nama sebenarnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 33, setiap individu termasuk isterinya memiliki kebebasan bersuara, namun sebagai figura awam setiap langkah perlu disulami kewaspadaan.

“Setiap orang ada pandangan sendiri dan bebas berkongsi di media sosial.

Tetapi sebagai selebriti, kami kena sentiasa beringat kerana apa sahaja dikongsi akan jadi perhatian ramai.

“Sebab itu kami saling mengingatkan. Selagi tidak melanggar batas, rasanya tiada perkara perlu dirisaukan,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas isu tular membabitkan isterinya dan seorang jurusolek sebelum ini, bintang filem Blood Brothers: Bara Naga itu menjelaskan dunia maya sememangnya hadir bersama sisi baik dan buruk.

“Aktif dalam media sosial ada kelebihan serta kekurangan. Terlalu aktif orang bercakap, tidak aktif pun orang bercakap.

“Bila berani berkongsi, kita juga kena berani berdepan reaksi orang,” ujarnya pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026, baru-baru ini.

Pun begitu, Syafiq berpendapat Mimi sudah bertindak matang dalam mengurus situasi berkenaan tanpa membesarkan keadaan.

“Saya rasa dia berjaya mengawal situasi dengan baik.

Dia juga berhubung secara peribadi dengan jurusolek terbabit. Jadi tiada apa-apa isu besar pun sebenarnya,” jelasnya.

Syafiq turut menyentuh isu pembayaran dalam industri seni, perkara tersebut kadangkala berlaku tanpa disengajakan khususnya apabila melibatkan jadual kerja padat serta pengurusan oleh pihak ketiga.

Baginya perkara sebegitu lebih wajar diselesaikan secara tertutup tanpa membuka ruang persepsi negatif.

“Bab bayaran ini kadang-kadang melibatkan pengurusan, pembantu peribadi atau pengurus. Ada masa memang boleh terlepas pandang.

Pihak produksi pun ada ketika berdepan situasi sama, apatah lagi artis terlibat dengan penggambaran, kempen dan sesi fotografi hampir setiap hari.

“Saya rasa lebih baik berbincang secara peribadi melalui WhatsApp atau mesej peribadi, bukan viralkan di media sosial sebab isu itu boleh berpusing dan akhirnya makan diri sendiri,” tegasnya.

Paling penting kata Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) itu, setiap manusia tidak terlepas daripada kekhilafan.

Kita semua manusia, bukan sempurna. Kalau kita buka aib orang hari ini, mungkin satu hari nanti aib kita pula terbuka.

“Kadang-kadang hal ini ‘simple’ saja. Kita terlupa, orang pun terlupa nak ingatkan. Bila bersua muka, barulah masing-masing teringat,” tuturnya.

Terdahulu, seorang jurusolek selebriti mendakwa dalam platform Threads bahawa Mimi Lana masih belum melunaskan bayaran perkhidmatan solekan.

Bagaimanapun, difahamkan Mimi telah menghubungi individu terbabit secara peribadi dan isu tersebut berjaya diselesaikan secara baik tanpa sebarang pertikaian lanjut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok