PELAKON Hannah Delisha menafikan dakwaan kononnya rumah tangga bersama suami, Imam Shah sedang bergolak susulan tular satu perkongsian menyambut tahun baharu di sebuah hotel baru-baru ini.
Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 29, menjelaskan kekeliruan tercetus apabila nama pada kad alu-aluan hotel tidak tertera nama suaminya, sekali gus mengundang spekulasi netizen.
“Bilik itu sebenarnya Imam tempah, cuma dibuat atas nama saya.
Mungkin pihak hotel tidak tahu, sebab itu mereka tulis Miss Hanna sahaja. Itu sahaja sebenarnya, terkejut bila itu pun jadi isu,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon drama Dendam Seorang Madu itu, percutian berkenaan merupakan kejutan kecil daripada suaminya sempena menyambut tahun baharu bersama.
“Kami sambut tahun baharu sama-sama. Imam tempah sebagai kejutan dan saya memang tak tahu langsung.
“Nama dalam sistem bukan Hannah Delisha, jadi mungkin mereka keliru. Sebab itu mereka panggil saya Miss Hanna,” ujarnya pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026, di sini, malam tadi.
Hannah mengakui jarang berkongsi hal peribadi dalam media sosial, namun tidak melihat keperluan untuk menjelaskan setiap perkara kepada umum.
“Saya rasa pengikut saya tahu, saya memang tidak suka kongsi hal peribadi kecuali berkaitan kerja.
“Kadang-kadang saya kongsi sikit-sikit sahaja. Kami pun nak sambut tahun baharu, cuma secara ringkas. Duduk hotel, rehat, makan, pergi gim. Banyak makan sebenarnya,” jelasnya.
Paling penting kata pelakon asal Singapura itu, perkongsian tersebut dibuat tanpa niat mencetuskan salah faham atau perhatian berlebihan.
“Saya tak rasa perlu jelaskan semua benda. Itu Instagram saya dan apa saya kongsi sangat sederhana.
“Kalau orang nak percaya apa mereka mahu percaya, saya tak kisah. Saya faham kenapa mereka komen begitu, cuma tak perlu saya jawab satu-satu,” luahnya.
Terdahulu, perkongsian momen sambutan tahun baharu Hannah Delisha di sebuah hotel menjadi perhatian apabila kad alu-aluan tidak turut memaparkan nama suaminya, sekali gus mencetuskan spekulasi kononnya rumah tangga pasangan yang berkahwin sejak 2021 itu sedang dilanda badai. – HIBGLAM
