Cemerlang dalam Haq, Yami Gautam dijulang tinggi

AKTRES berbakat besar, Yami Gautam bukanlah nama baharu di Bollywood. Bahkan, sudah banyak deretan filem lakonannya sebelum ini.

Malah, dia pernah bergandingan dengan hero bertaraf superstar seperti Hrithik Roshan menerusi filem Kaabil pada tahun 2017.

Sebelum melangkah ke industri Bollywood, Yami terlebih dahulu menguasai drama televisyen di India dan pernah meledak dengan drama Chand Ke Paar Chalo.

Dek populariti yang diraih dalam industri televisyen, Yami akhirnya mendapat tawaran berlakon filem Bollywood pada tahun 2012 menerusi Vicky Donor di samping Ayushmann Kurrana.

Namun, hanya baru-baru ini nama Yami dijulang tinggi peminat serta rakan-rakan industri dek kehebatan lakonannya dalam filem Haq.

LAMA mendap sebagai pelakon drama televisyen, Yami akhirnya memecah tembok apabila cemerlang dalam filem terbaharu, Haq.

Dalam filem tersebut Yami memegang watak sebagai seorang isteri beragama Islam dimadukan oleh suaminya lakonan Emraan Hashmi yang mengahwini sepupunya sendiri.

Filem tersebut menyerlah sisi lakonan Yami yang penuh beremosi dan tegas memperjuangkan haknya di mahkamah.

Lebih mengagumkan, Yami turut dipuji kerana membaca ayat al-Quran di dalam filem arahan Suparn Verma itu.

Filem tersebut menjadi viral di seluruh dunia termasuk di Malaysia kerana mengangkat kisah benar seorang wanita di India.

Pujian menggunung

Aktres terkenal, Alia Bhatt memuji lakonan Yami yang disifatkannya sebagai salah seorang pelakon terbaik sepanjang zaman.

Ratu Yami! Kamu adalah anak seni sejati. Kamu Ibarat emas di dalam filem Haq. Salah seorang pelakon terhebat sepanjang zaman.

“Seperti yang saya beritahu kamu menerusi panggilan telefon, saya ialah peminat kamu dan menanti lebih banyak karya hebat daripada kamu untuk menghiburkan kami semua,” tulisnya dalam Instagram.

DALAM Haq, Yami memegang watak sebagai seorang isteri beragama Islam yang bangkit menuntut haknya di mahkamah.

Pengarah dan pereka tari, Farah Khan turut memuji aktres itu dan berpendapat, Yami bakal memenangi banyak anugerah menerusi lakonan hebatnya dalam filem itu.

Bersiap sedia untuk memenangi setiap acara anugerah tahun ini,” tulisnya.

Lebih mengejutkan pengarah sensasi, Karan Johar turut memuji Yami dalam Instagram.

Yami sangat hebat dan menyerlah. Setiap gerak geri dalam lakonannya begitu hebat dan meyakinkan,” tulisnya.

Namun begitu, Karan diperli netizen kerana sebelum ini dia dikatakan tidak menyukai Yami.

Malah, pernah menghalang aktres itu daripada menghadiri rancangan bual bicara Koffee With Karan bersama Hrithik Roshan satu ketika dahulu kerana dia tidak cukup popular.

Netizen juga berpendapat Alia Bhatt sengaja memuji Yami kerana ingin berlakon filem di bawah arahan suami Yami iaitu Aditya Dhar yang mengarah filem Box Office, Dhurandhar.

Yami pula sebelum ini pernah meluahkan bahawa kehadirannya dalam industri perfileman Bollywood seakan-akan tidak diterima. Malah, ada penggiat industri yang dikatakan ‘tarik muka’ tatkala bertentang mata dengannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok