PENYANYI Indonesia Raisa Andriana bakal menghiburkan peminatnya di Malaysia menerusi konsert jelajah, Raisa Ambivert Tour di Zepp Kuala Lumpur pada 13 Februari depan.
Menurut Raisa, dia mahu menghanyutkan emosi penonton dengan setiap alunan lagu yang dipersembahkan pada malam tersebut.
“Kuala Lumpur mempunyai tempat sangat istimewa di hati saya kerana sokongan peminat di sini yang luar biasa dan sentiasa memberikan tenaga positif.
Menerusi ‘Ambivert Tour’, saya ingin membawa penonton menyelami sisi berbeza diri saya iaitu intim dan tenang serta penuh dengan keriangan.
“Saya telah menyediakan susunan muzik istimewa untuk malam itu dan tidak sabar mencipta kenangan
baharu bersama anda semua,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Sembang Kari Entertainment yang juga penganjur konsert, Mohd Fuad Simim berkata, keputusan membawa Raisa ke Malaysia adalah tepat memandangkan sambutan peminatnya di sini sangat hebat.
Menerusi konsep ‘Ambivert’ ini, kami ingin memberi ruang kepada peminat untuk melihat sisi Raisa yang lebih jujur, yang ada ketikanya suasana akan menjadi sangat intim dan ‘healing’, manakala ada saatnya pula penuh dengan keriangan pop dinamik.
“Kami mahu setiap penonton pulang dengan rasa puas setelah melalui sebuah kembara perasaan yang diceritakan menerusi vokal hebat beliau,” ujarnya.
Konsert yang bertema ‘Ambivert’ itu dianjurkan Sembang Kari Entertainment dan MHT Live My, dengan Juni Concert sebagai rakan penganjur.
Acara tersebut juga bakal diserikan dengan penampilan penyanyi Indonesia, Barsena Bestandhi sebagai artis jemputan.
Tiket konsert Raisa Ambivert Tour dijual pada harga serendah RM239 sehingga RM999 mengikut kategori berbeza menerusi laman web rasmi www.raisambivert.com.
Kali terakhir Raisa mengadakan konsert di Malaysia adalah pada 2024 di Megastar Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur.- HIBGLAM
