Mengenang legasi seni bintang Korea Selatan

MESKIPUN sudah memasuki tahun baharu, kalender 2025 menyaksikan langit hiburan Korea Selatan kehilangan permata yang bersinar.

Ada yang pergi dalam tenang setelah puas berbakti dan tidak kurang ada yang ‘melangkah’ pergi saat bakat baharu mula mekar mewangi.

Pemergian bintang-bintang ini pada tahun 2025 menjadi peringatan keras kepada industri tentang kepentingan menjaga kesihatan mental serta fizikal para artis di sebalik populariti yang dikecapi.

HibGlam kali ini menyelami kembali hikayat terakhir insan-insan seni yang telah pulang ke negeri abadi, namun berjaya meninggalkan jejak karya hebat yang akan terus hidup buat selama-lamanya.

Lee Soon-jae

INDUSTRI kehilangan seorang guru dan bapa dalam dunia lakonan apabila pelakon veteran, Lee Soon-jae menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun akibat faktor usia.

Pelakon drama Dog Knows Everything yang berbakti selama lebih enam dekad dianggap sebagai arkib hidup perfileman Korea.

Kepergiannya diiringi dengan penghormatan tertinggi daripada Presiden Korea Selatan dan rakan-rakan artis yang menyifatkannya sebagai kompas dalam industri seni.

Song Young-kyu

PADA bulan Ogos, pelakon Song Young-kyu ditemui tidak bernyawa di dalam kenderaannya di Yongin.

Kematian pemilik nama sebenar Song Young-gyu, 55, menambah senarai panjang pelakon yang tewas dalam perjuangan melawan kemurungan selepas menghadapi krisis peribadi dan kerjaya.

Mendiang meninggalkan legasi menerusi watak ikonik dalam drama Penthouse 3 dan filem Extreme Job.

Kang Seo-ha

BINTANG yang sedang meningkat naik, Kang Seo-ha dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Seoul selepas bertarung dengan kanser perut.

Apa yang menyedihkan, mendiang merahsiakan penyakitnya daripada pengetahuan umum dan terus bekerja sehingga ke saat akhir demi tidak mahu menyusahkan kru produksi.

Sifat dedikasi wanita berusia 31 tahun itu menjadi bualan dan inspirasi buat rakan seperjuangan.

Wheesung

DUNIA muzik juga tidak terlepas daripada berita duka apabila penyanyi Wheesung ditemui meninggal dunia di rumahnya pada Mac 2025.

Meskipun punca sebenar kematian masih dalam siasatan, komuniti muzik meratapi kehilangan vokalis yang membentuk identiti muzik R&B Korea pada awal tahun 2000-an itu.

Pemergiannya mengejutkan peminat kerana pemilik nama sebenar Choi Whee-sung itu baru sahaja merancang untuk mengadakan konsert jelajah pada bulan yang sama.

Kim Sae-ron

FEBRUARI 2025 menjadi bulan yang paling gelap apabila pelakon berbakat, Kim Sae-ron ditemui meninggal dunia di kediamannya.

Pemergian Sae-ron pada usia 24 tahun yang pernah dijulang menerusi filem The Man From Nowhere itu dilaporkan bergelut dengan tekanan mental yang hebat susulan kontroversi yang menimpa kerjayanya.

Kematiannya sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai budaya ‘cancel culture’ yang ekstrem dan tekanan tidak berperikemanusiaan terhadap selebriti muda di Korea. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok