Kontroversi ‘manusiakan’ Ismail Izzani

NAMA Ismail Izzani sering terpalit dengan pelbagai gosip sejak kebelakangan ini berikutan aktiviti sosialnya yang dikatakan kerap berkunjung ke pusat hiburan.

Paling menjadi tumpuan apabila penyanyi itu dikaitkan pula isu pendedahan seorang gadis yang mendakwa dirinya dibuntingkannya selain diminta menggugurkan kandungan sekitar Jun lalu.

Ketika itu Ismail, 23, tampil menafikan tuduhan selepas merasakan dirinya terkait dengan
dakwaan mengarut sebegitu gara-gara didakwa suka berparti di kelab malam.

Biarpun panas dengan beberapa kontroversi, Ismail atau nama lengkapnya Ismail Izzani Zainal Nazeri itu bersyukur insiden dilalui menyuntik pengajaran bermakna.

“Saya bersyukur perkara yang berlaku (kontroversi) mengajar saya menjadi manusia yang lebih berakal dan matang.

“Rasanya kalau ada peluang untuk patah balik masa dan boleh tukar apa yang terjadi, saya enggan mengubah apa-apa.

“Tanpa semua gosip serta ujian yang datang bertalu-talu saya tidak akan berada di sini sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, anak kepada penyanyi popular 90-an, Datin Suliza Salam itu tidak menyalahkan sesiapa berkaitan kontroversi yang melibatkan namanya.

Menurut Ismail, semua itu disebabkan dia sendiri memilih untuk tidak menduduki peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi meneruskan karier pada usia muda.

“Saya tidak mahu salahkan sesiapa kecuali diri sendiri yang memilih untuk meninggalkan bangku sekolah bagi memberi fokus terhadap nyanyian.

“Saya tidak tahu orang akan benci saya sampai ke tahap sebegitu teruk. Tidak adil bagi saya yang mula menapak dalam industri seawal usia 16 tahun.

“Seawal usia itu saya sudah berkecimpung dalam industri dan orang luar melihat pembesaran serta kehidupan yang saya lalui,” ujarnya.

Mengakui minat yang mendalam terhadap muzik, Ismail sanggup menghadapi kecaman yang dilemparkan kepadanya.

“Apa-apa yang saya lakukan dengan muzik adalah perkara yang paling dekat dengan saya.
Jujur dan ikhlas.

“Saya sanggup dikecam tetapi tidak mahu hilang minat yang saya ada. Itu perkara paling bernilai buat saya,” tutur pelantun lagu Sabar itu.

Dalam masa sama, bintang drama bersiri Bukan Hanya Sekadar Cinta itu mengakui tidak boleh mengawal situasi sekiranya terpalit lagi dalam kontroversi lain.

Sebaliknya dia sudah bersiap sedia dengan sebarang risiko sekali gus mahu terus kuat semangat untuk bangkit.

“Kurangkan kontroversi pada masa akan datang pun tidak boleh juga sebab bukan saya yang meminta.

“Kalau benda nak jadi, akan jadi juga lagi-lagi pada era sekarang semuanya di hujung jari. Inilah kehidupan yang saya pilih. Benda kalau terjadi, apa saya boleh buat.

“Tidak mungkin saya menangis atau tertekan. Perkara tersebut akan buat saya bangun dan terus pandang ke depan,” tambahnya.

Sehubungan itu, Ismail berharap dapat mengurangkan spekulasi liar yang melibatkan dirinya kerana dia benar-benar ingin mengukuhkan kedudukan dalam industri seni sebagai seorang penghibur sejati.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok