Syasya Rizal tegur individu suka hina rupa paras orang lain

PENYANYI Syasya Rizal mempersoal sikap negatif segelintir individu yang menjadikan bentuk fizikal seseorang sebagai bahan kecaman dalam media sosial.

Menurut Syasya yang juga bekas anggota kumpulan Dolla, tindakan tersebut dianggap tidak solan selain seperti mengutuk makhluk ciptaan Tuhan.

“‘Dah la muka macam…’, apabila seseorang buat salah dalam media sosial, kenapa fizikal dia pula menjadi sasaran?

“Betul, perkara yang dia buat mungkin salah tetapi tegur perbuatan dia.

“Namun bila mula menghina rupa, sesuatu yang langsung tak ada kaitan dengan kesalahan itu, sebenarnya kita cuma ambil peluang untuk menghina ciptaan Allah SWT,” katanya dalam platform Threads.

Dia juga berpendapat komen sebegitu bukan satu perkara yang boleh membina keyakinan seseorang sebaliknya mewujudkan ruang dan masyarakat yang berfikiran negatif.

“Itu bukan kritikan tetapi normalisasi kebencian.

“Saya tidak pernah rasa perkara tersebut adalah wajar dilakukan,” ujarnya.

Pendapat tersebut seterusnya dipersetujui ramai yang turut berpandangan platform media sosial tidak sepatutnya menjadi ruang menghina rupa paras atau bentuk fizikal indvidu lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok