Daripada cerita ‘bam bam bum’, baik kita bincang antara keluarga – Syed Saddiq

SERING diasak soalan berkaitan hari perkahwinan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memilih untuk tidak membuka ruang perbincangan terbuka mengenai soal hari bahagianya bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.

Ujar Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abd. Rahman, 32, perkara peribadi seperti perkahwinan seharusnya menjadi urusan dua keluarga dan tidak wajar diumumkan kepada umum secara terburu-buru.

“Saya rasa dalam soal ini, hal kahwin merupakan urusan dua keluarga.

“Daripada kita cerita ‘bam bam bum’ secara terbuka, lebih baik bincang elok-elok antara keluarga,” katanya dalam video temu bual tular di Threads.

Kenyataan itu bagaimanapun mencuri perhatian ramai apabila rata-rata netizen menganggap jawapan tersebut seolah-olah memberi bayangan hubungan mereka sudah berada di fasa lebih serius.

“Jawapan matang, biarlah antara mereka sahaja yang bincang, Alhamdulillah memang nampak macam ada perancangan,” tulis seorang netizen.

“Ini macam ada bau-bau perancangan. Kalau tak serius, takkan jawab macam itu. Doakan yang baik-baik,” komen pengguna media sosial.

“Apapun moga kalian berdua bahagua. Diam-diam ubi berisi, semoga dipermudahkan urusan mereka,” ujar seorang peminat.

Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq sering dikaitkan selepas dilihat serasi bergandingan mewakili beberapa jenama terkenal, namun kedua-duanya berulang kali menegaskan hubungan mereka tidak lebih sekadar rakan.

Namun, hati peminat terus berbunga-bunga apabila Bella dilihat menemani ahli politik itu ke Kejohanan Dunia Ironman 2025 di Perancis pada 14 September lalu, selain turut mesra bersama keluarga masing-masing, sekali gus menguatkan lagi spekulasi mengenai hubungan istimewa antara mereka. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok