BEBERAPA tahun kebelakangan ini, filem Bollywood banyak mengetengahkan watak hero ganas dengan imej berjambang.
Semuanya bermula dengan kejayaan filem Animal lakonan Ranbir Kapoor yang meraiah kutipan pecah panggung
sehingga mencetuskan fenomena di India.
Susulan pencapaian luar biasa itu, semakin banyak filem Bollywood menampilkan hero dengan imej berjambang demi mendapatkan persona sama seperti Animal.
HibGlam minggu ini menyenaraikan lima hero Bollywood yang gagah dan berjambang dalam filem.
Ranbir Kapoor

Dalam Animal, Ranbir mengetengahkan pelbagai imej kerana filem ini memaparkan wataknya dari zaman sekolah hingga dewasa.
Namun imej paling berbekas di hati penonton tentunya lelaki berjambang dengan rambut panjang.
Malah penampilan itu juga digunakan sebagai poster filem tersebut sehingga menjadi ikutan ramai.
Peminat juga tidak sabar menantikan sekuel filem tersebut. Namun imej yang akan dibawa suami Alia Bhatt itu masih menjadi rahsia.
Arjun Rampal

Pelakon kacak ini sering mencuri tumpuan ramai dek ketampanannya sebagai hero filem romantik.
Namun dalam filem Dhurandhar, Arjun memainkan watak antagonis sebagai Mejar Iqbal yang ganas dan kejam.
Dalam filem tersebut, Arjun dipaparkan sebagai lelaki dari Pakistan yang berjambang lebat dan digeruni ramai.
Ranveer Singh

Imej berjambang bukanlah sesuatu yang asing buat Ranveer. Dia sudah terbiasa dengan imej tersebut sama ada di dalam mahupun di luar layar.
Begitupun, dalam filem terbaharu lakonannya iaitu Dhurandhar, suami kepada Deepika Padukone itu memaparkan imej lelaki berjambang lebat berserta rambut panjang.
Semuanya demi tuntutan wataknya sebagai pengintip dari India yang menyamar menjadi warga Pakistan.
Sebelum ini dia pernah membawa imej sama dalam filem Padmavaat di samping isterinya sendiri.
Bobby Deol

Watak antagonis yang dibawanya dalam filem Animal ibarat memberi nyawa kedua buat Bobby Deol dalam bidang lakonan.
Watak itu telah membuka mata ramai bakatnya bukan sahaja hebat sebagai hero, tetapi juga cemerlang sebagai antagonis.
Persona imej berjambang dalam filem itu membuatkan ramai jatuh cinta dengannya sehingga berharap dia mengekalkan imej itu di luar filem.
Akshay Kumar

Menjadi hero terbaru yang mencuba imej berjambang, gambar Akshay Kumar yang kini sedang dalam penggambaran filem berjudul Haiwan tular dalam media sosial.
Gambar tersebut memaparkan pelakon yang terkenal dengan filem aksi itu berambut panjang dan berjambang. – HIBGLAM
