Hidap kanser hati, ibu Ziana Zain meninggal dunia

UJIAN bertimpa hadir dalam hidup penyanyi, Ziana Zain apabila mengesahkan ibunya, Robiah Abdul pula menghembuskan nafas terakhir, genap empat bulan selepas pemergian bapa tercinta.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 56, berkongsi berita duka itu dengan nada sebak apabila memaklumkan ibunya meninggal dunia di Hospital KPJ Klang pada usia 74 tahun akibat kanser hati.

“Ya betul, emak baru meninggal dunia kira-kira pukul 10.42 malam tadi.

“Sekarang mak masih berada di hospital dan kami sedang menguruskan semua keperluan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Menurut penyanyi lagu Madah Berhelah itu, ibunya sekian lama berjuang melawan kanser hati sebelum penyakit berkenaan merebak ke beberapa organ dalaman lain.

“Mak menghidap kanser hati. Penyakit itu sudah merebak ke usus dan buah pinggang.

“Keadaan mak semakin lemah sejak kebelakangan ini,” luahnya.

Ziana turut memaklumkan jenazah ibunya akan dikebumikan sekitar pukul 10 pagi nanti selepas semua urusan hospital selesai.

“Insya-Allah, jenazah mak akan dikebumikan pagi nanti sekitar pukul 10,” jelasnya.

Sebelum ini, sekitar empat bulan lalu, bapa kepada Ziana serta penyanyi Anuar Zain, Zain @ Zin Abdullah, meninggal dunia pada usia 87 tahun pada 26 Ogos lalu, sekitar pukul 3.32 petang. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok