Ucapan hari jadi Norman buat Marissa tular

“SETIAP hari papa doa adik mendapat lelaki yang boleh bimbing ke jannah.”

Itu antara kandungan doa dalam ucapan ulang tahun kelahiran pelakon Norman Hakim buat anak perempuannya, Marissa Dania Hakim pada 2 Julai lalu.

Perkongsian tersebut kembali tular dalam media sosial selepas satu Malaysia semalam dikejutkan dengan dakwaan Marissa yang baru berusia 18 tahun dituduh sebagai penyondol dalam rumah tangga sepasang suami isteri.

Dalam ucapan Norman, dia sentiasa berharap Marissa dijauhkan daripada lelaki yang tidak ikhlas.

“Khusus untuk adik, setiap hari papa doa supaya Allah SWT tutup pintu hati ke atas mana-mana lelaki kecuali niatnya tulus dan ikhlas hendak jadi imam buat adik serta bimbing ke Jannatul Firdausi.

“Semua orang sayang adik. Adik anak solehah, bijak dan sangat berdikari, Hari-hari papa tak pernah terlepas solat hajat untuk doakan adik,” ucapnya.

Menerusi ucapan sama, pelakon itu turut mengimbau semula detik kelahiran Marissa yang dilahirkan dalam kereta 18 tahun lalu.

“Pada 18 tahun lalu, Allah pilih mama untuk lahirkan adik dan papa pula sambut kelahiran dalam kereta. Momen takkan dilupakan seumur hidup.

“Momen itu seperti baru sahaja berlaku semalam, bezanya hari ini adik sudah besar dan cantik di depan mata.

“Mohon Allah sentiasa lindung adik dengan rahmat dan kasih sayang-Nya. Sayang sampai mati,” katanya lagi.

Semalam, nama Marissa trending dalam aplikasi X selepas seorang wanita bernama Misya mendedahkan anak pasangan pelakon Norman dan Abby Abadi itu sebagai punca keruntuhan rumah tangga dia dan suami dikenali sebagai Aslam.

Difahamkan, pendedahan tersebut juga telah mendapat keizinan daripada ibu bapa Marissa.

Sehingga hari ini, tiada sebarang penjelasan lanjut daripada Marissa manakala Abby pula masih membisu selepas berjanji bakal menjelaskan segala persoalan mengenai isu tersebut semalam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok