MENGALAMI masalah cakera tergelincir (slip disc L5), pelakon Nabila Huda tetap meneruskan pementasan teater muzikal Masmoona yang dijadualkan bermula hari ini.
Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi berkata, tujuan dia ke hospital adalah bagi menjalani pemeriksaan selepas sakit pinggang selepas bangun daripada tidur dua hari lalu.
“Sebelum ini, saya pernah mengalami masalah sakit pinggang, namun sudah lama tidak mengalami serangan seperti itu.
Nak dijadikan cerita, dua hari lalu, sebaik sahaja bangun tidur, sakit itu kembali menyerang secara tiba-tiba yang jauh lebih teruk sehingga saya sukar untuk berdiri.
“Memandangkan pementasan teater muzikal Masmoona semakin dekat, saya panik. Jadi, semalam sebelum ke sesi latihan, saya mengambil keputusan menjalani pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) untuk mengetahui keadaan sebenar,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.
Menurut aktres berusia 41 tahun itu, walaupun terkejut dengan keputusan pemeriksaan berkenaan, dia menganggap situasi dilalui sebagai ‘hadiah’ penutup 2025.
“Saya sedar saya bekerja terlalu keras sepanjang tahun, tetapi begitulah, saya memang cintakan kerjaya ini.
Jangan risau semua, semuanya terkawal. Saya boleh hadapinya,” ujarnya.
Pada hantaran sama, Nabila turut berkongsi perbualan dengan doktor yang menawarkannya sijil cuti sakit (MC) melihatkan tahap kesihatannya itu.
Paling kelakar, doktor tanya ‘Awak nak MC tak?’. Terus saya dan rakan saya tergelak dan jawab, ‘kerja kami ini memang tiada istilah MC dalam kamus’.
“Persembahan esok, orang pun sudah beli tiket. Siapa pula yang nak menggantikan watak ‘Malam’? Memang tak mungkin,” katanya.
Sebagai persediaan, Nabila memaklumkan mengambil ubat tahan sakit paling kuat bagi membolehkannya meneruskan pementasan selain berjanji akan menjalani rawatan fisioterapi selepas selesai tugasan.
Saya beritahu doktor, berikan saya peluang untuk habiskan empat persembahan ini dahulu dengan bantuan ubat tahan sakit paling kuat. Selepas itu, saya janji akan menjalani fisioterapi.
“Doktor hanya mampu tersenyum dan menggelengkan kepala. Apa pun, persembahan teater mesti diteruskan,” katanya.
Selain Nabila, teater muzikal Masmoona yang
dijadualkan berlangsung di M Theatre, Mahsa Avenue turut dibintangi Fadhli Masoot, Shazia Rozaini, Danial Zaini, D’Boy Hamdan, Taiyuddin Bakar serta Shasha Fairus. – HIBGLAM
