‘Mereka yang baik tiada masa kutuk, jatuhkan orang lain’

FENOMENA budaya mengecam yang semakin berleluasa dalam media sosial mendorong penyanyi Shiha Zikir tampil menyuarakan pandangannya mengenai perbezaan sikap individu berfikiran positif dan negatif.

Shiha atau nama penuhnya Nurshiha Mohd. Zikir, 38, berpendapat individu yang bersikap positif lazimnya tidak mempunyai masa untuk mengutuk, bergosip atau menjatuhkan orang lain.

“Apa yang saya sedari tentang perbezaan antara orang yang positif dan orang yang negatif ialah individu yang positif tidak mempunyai masa untuk mengutuk, bergosip atau menjatuhkan orang lain.

“Sebaliknya, mereka lebih gemar memberikan kata-kata semangat, mendoakan perkara yang baik-baik, tidak cuba memburukkan orang lain, dan sukar untuk dijelaskan betapa menyenangkannya berada dalam lingkungan pergaulan mereka,” ujarnya dalam Threads.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Irama itu turut mempersoalkan sikap segelintir individu yang gemar mengecam, namun bersembunyi di sebalik akaun palsu atau tanpa identiti sebenar.

“Mengapa kebanyakan individu yang suka mengutuk atau mengecam selalunya tidak mempunyai gambar profil atau menggunakan akaun palsu?

“Adakah orang yang bersikap negatif ini hanya berani bersuara dari belakang sahaja?” jelasnya.

Shiha turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam berbicara di alam maya kerana setiap kata-kata yang dilontarkan mencerminkan keperibadian diri.

“Oleh itu, faham-fahamlah kategori mana yang ingin anda pilih, kerana apa yang anda perkatakan atau tuliskan sebenarnya mencerminkan diri anda sendiri,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut didakwa dimuat naik selepas Shiha menjadi antara selebriti yang dikecam susulan penglibatannya sebagai pengacara Anugerah Bintang Popular yang ke-37 (ABP37) baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok