KUMPULAN Dolla tidak akan merakamkan semula video muzik (MV) kontroversi, Question yang diturunkan dari platform YouTube Malaysia atas beberapa faktor termasuk kos tinggi.
Anggotanya, Angel atau nama lengkapnya Angelina Chai, 24, berkata, tiada keperluan untuk menerbitkan video sama bagi versi tempatan memandangkan peminat luar negara masih boleh menonton MV terbabit.
“Setakat ini kami tiada perancangan untuk membuat rakaman semula kerana bagi MV untuk pasaran luar negara masih boleh diikuti peminat.
“Sehingga hari ini, saya rasa sudah mencecah 400,000 tontonan untuk video tersebut di luar negara.
“Bagi peminat di Malaysia pula, kita masih mempunyai video latihan menari untuk lagu Question itu,” katanya ketika ditemui pada sesi bertemu peminat bersama iDolla di Sunway Pyramid, semalam.
Menurut Angel lagi, dia bersama dua lagi rakannya, Sabronzo serta Tabby berbesar hati apabila peminat atau disebut iDolla di luar negara yang meniru kembali tarian mereka.
Katanya, apabila video yang menunjukkan tarian tersebut dimuat naik di media sosial, secara tidak langsung dapat mempromosikan lagu Question.
“Kami terharu melihat usaha ramai pengikut Dolla yang mengikuti gerakan serta tarian ditunjukkan dalam video muzik tersebut dan kemudian dimuatnaik di laman sosial.
“Usaha mereka menyunting video dan ‘lip sync’, lebih-lebih lagi dalam bahasa Melayu yang asing buat mereka (peminat luar negara) sangat kami hargai.
“Perkara itu bukan sesuatu yang mudah. Ada di antaranya dari Jerman dan Rusia seronok belajar menyebut bahasa kita,” ujarnya.
Mengenai keputusan menurunkan video lagu baharu itu pula, Sabronzo melihat tindakan syarikat rakaman, Universal Music Malaysia dari sudut positif.
Baginya, keputusan berkenaan adalah yang baik untuk mereka selain mematangkan lagi diri seterusnya fokus ke hadapan.
“Kami percaya menurunkan video adalah usaha terbaik yang kami lakukan. Sekarang ini kami hanya mahu fokus ke hadapan,” ujarnya.
Terdahulu, penampilan Dolla menerusi video muzik Question disifatkan sesetengah pihak sebagai keterlaluan dan mencolok mata sehingga ditegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Susulan itu, Universal Music Malaysia mengambil langkah menurunkan video tersebut daripada semua platform digital termasuk di YouTube.
Sementara itu, pada sesi berhimpun bersama kira-kira 200 peminat, Dolla membawakan empat dendangan termasuk lagu Question yang membuatkan penonton bersorak. – HIBGLAM.
