PELAKON Erra Fazura mengakui keputusan kembali ke alam perkahwinan selepas 11 tahun solo bukan langkah terdesak, sebaliknya memenuhi naluri ingin berteman dalam mengharungi usia mendatang.
Erra atau nama lengkapnya Fazira Wan Chek, 51, berkata, jika diikutkan dia sudah selesa hidup sendirian sebelum kehadiran bakal suami, Ezwan Zain, namun hatinya terbuka dengan ketulusan serta sikap serius lelaki terbabit terhadap hubungan mereka.
“Memang sebak sebab membayangkan sudah lalui banyak fasa dan kami akhirnya sepakat mendirikan rumah tangga, (tapi) takut sebab kesakitan dulu yang tak mahu dilalui lagi.
Kalau nak tunggu yakin mungkin banyak lagi bisikan menakutkan hadir. Mr. E (Ezwan) pun solo selama lapan tahun, jadi masing-masing terbiasa sendirian tetapi akhirnya, fitrah manusia di peringkat usia ini mahu berteman.
“Kami bukanlah dalam situasi terdesak, cuma lebih kepada memikirkan jangka masa panjang nak habiskan sisa usia bersama-sama dan punya kawan bercerita,” katanya selepas pelancaran lagu Cinta Abadi 2025, semalam.
Aktres itu turut menyatakan cincin tanda dan penentuan tarikh pernikahan pada 12 Disember ini dibuat enam minggu selain turut memaklumkan puterinya, Engku Aleesya dan anak Mr.E merestui perkahwinan mereka.
Pada masa sama, Erra yang menjalin hubungan lebih setahun dengan usahawan berusia 44 tahun terbabit berharap pernikahan mereka berkekalan ke akhir hayat.
“Harap ini (pernikahan) terindah dan penutup,” kata Erra.
Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu sebelum ini pernah dua kali mendirikan rumah tangga namun kedua-duanya berakhir dengan perceraian.
Perkahwinan pertama bersama pengarah dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim sementara bekas suami kedua adalah usahawan, Engku Emran Engku Zainal Abidin dan mereka memiliki seorang anak, Engku Aleesya,16.
Ezwan juga berstatus bapa tunggal mempunyai seorang anak perempuan yang hampir sebaya dengan Engku Aleesya. – HIBGLAM
