Kunci tarikh, terima cincin tanda enam minggu lalu – Erra Fazira

BAKAL disatukan pada 12 Disember, penyanyi dan pelakon, Erra Fazira mendedahkan dirisik keluarga bakal suaminya, Ezwan Zain sekitar enam minggu lalu.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, berkata, pada pertemuan pertama keluarga kedua-dua pihak, dia menerima sebentuk cincin emas sebagai tanda diikat.

“Di situ ibarat merisik merangkap semuanya termasuk mengunci tarikh (nikah) dan bagi cincin tanda lebih kurang enam minggu lalu.

Apabila semuanya sudah dirancang dan kami rasa okey, barulah kami satukan mereka (keluarga). Saya tidak mahu babitkan orang tua awal-awal tetapi akhirnya berlaku perkara yang tidak elok.

“Jadi bila sudah pasti, barulah kami bertemu keluarga agar tidak menyusahkan mereka,” katanya kepada HibGlam pada majlis pengumuman pernikahan serta pelancaran muzik video Cinta Abadi, hari ini.

Menurut Primadona Filem Melayu Alaf Baru itu lagi, dia serta bakal suami, mencapai kata sepakat untuk mendirikan rumah tangga pada Jun lalu.

Bagaimanapun katanya, tiada lamaran daripada lelaki yang dikenali sejak setahun lalu memandangkan ini bukanlah perkahwinan pertama mereka.

“Saya rasa kerana kami sudah matang, tiada lamaran rasmi sangat. Bila berbincang tanpa tindakan, itu cuma angan-angan.

Tetapi bila ada tindakan, saya nampak keseriusan. Jadi ia mengalir begitu saja. Tidak ada ayat seperti, ‘Awak betul nak kahwin dengan saya?’.

“Sebelum Aidilfitri itu fasa ‘berangan’. Selepas itu, dia beraya di kampung saya. Keluarga pun okey. Saya memang mahu ‘lampu hijau’. Bila semua okey, barulah kami serius,” ujarnya.

Terdahulu pada pertemuan bersama media, Erra turut menitiskan air mata sewaktu mengumumkan tarikh hari bahagianya itu.

Majlis akad nikah Erra dan Ezwan akan berlangsung pada 12 Disember di sebuah lokasi yang akan diumumkan kelak.

Sama seperti pernikahan, majlis resepsi pada 13 dan 27 Disember ini juga akan disiarkan secara langsung di saluran YouTube Kasi Ons. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok