[VIDEO] Putri Ariani mara peringkat akhir AGT2023

“TERIMA kasih Amerika kerana memberikan saya peluang ini. Saya akan lakukan yang terbaik.”

Demikian ucapan penyanyi istimewa dari Indonesia,  Putri Ariani apabila berjaya mara ke peringkat akhir program America’s Got Talent (AGT) 2023 selepas sekali lagi tampil dengan persembahan memukau di peringkat semi final AGT, semalam.

Tampil anggun menggayakan busana rona keemasan, Putri, 17, membuatkan juri dan seluruh penonton di dalam dewan tergamam ketika menyanyikan lagu I Still Haven’t Found What I’m Looking For oleh kumpulan U2 sambil bermain piano.

Juri tetap AGT 2023, Simon Cowell dalam komennya berkata, dia hampir tidak dapat mengeluarkan kata-kata kerana teruja dengan nyanyian gadis cacat penglihatan itu.

“Saya sebenarnya kehilangan kata-kata. Sungguh indah suara kamu. Versi lagu yang kamu nyanyikan juga cukup indah. sejujurnya Putri, disebabkan inilah saya masih buat pekerjaan ini (sebagai juri).

“Persembahan kamu memang hebat,” ujarnya.

Tiga juri lain iaitu Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel juga kagum dengan persembahan yang ditampilkan Putri serta sangat gembira apabila penyanyi itu berjaya melangkah ke peringkat akhir AGT2023.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Putri Ariani (@arianinismaputri)

Ketika namanya diumumkan pengacara, Terry Crews sebagai salah seorang peserta peringkat akhir yang ditentukan menerusi undian penonton, Putri yang ditemani bapanya di atas pentas tidak dapat menahan perasaan gembira sehingga menangis.

Semasa peringkat saringan, Putri berjaya mara ke pentas semi final secara automatik selepas mendapat ‘Golden Buzzer’ daripada Cowell apabila tampil dengan vokal hebat ketika menyanyikan lagu ciptaanya sendiri, Loneliness dan Sorry Seems to Be the Hardest Word.

Peringkat akhir AGT2023 bakal berlangsung pada 26 September ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok