Arwah kemurungan, tak mahu jumpa adik-beradik – Noor Kumalasari

BINTANG veteran, Noor Kumalasari berkongsi detik pilu keadaan Allahyarham Dharma Harun Al Rashid yang mengalami kemurungan sebulan sebelum pemergiannya hingga memilih untuk menyendiri dan menjauhkan diri daripada keluarga.

Ujar Noor Kumalasari atau nama sebenarnya Noor Kumalasari Mohamed Taib, perkara itu dimaklumkan sendiri keluarga arwah yang memberitahu Dharma semakin pendiam dan enggan bertemu sesiapa termasuk adik-beradiknya.

Baru-baru ini ahli keluarganya beritahu saya, sebulan lalu arwah alami kemurungan. Dia jadi sangat ‘down’, sampai adik-beradik sendiri pun dia tak mahu jumpa.

“Dia lebih banyak menyendiri dan mengurung diri. Jadi, ketika Syafiq (anak Dharma) pulang dari kolej dan bertemu dengannya, sebenarnya masa itu arwah baru sahaja melalui fasa kemurungan itu,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas lanjut, pelakon filem Mira Edora itu berkata, arwah pernah meluahkan rasa tertekan kerana tidak bekerja terlalu lama, sedangkan jiwanya sentiasa hidup dalam dunia seni.

“Arwah pernah beritahu saya, dia murung sebab dah lama tak bekerja. Dia memang jenis suka bekerja, suka bergerak. Saya pernah nasihat, kalau rasa rindu nak bekerja, ambil saja apa-apa kerja dalam industri. Tolong-tolong pun tak apa.

Walaupun bukan kerja tetap, pergilah ke set penggambaran. Dia suka suasana orang seni. Sekurang-kurangnya dia tak duduk di rumah dan tenggelam dalam kemurungan. Alhamdulillah, selepas itu rezekinya mula datang,” ujarnya ketika ditemui usai pengebumian Allahyarham Dharma hari ini.

Noor turut mengenang momen awal perkenalan mereka ketika membintangi filem Adik Manja dan menyifatkan arwah  seorang pemuda pemalu ketika itu.

“Pertama kali jumpa, dia sudah menangis. Sebab kalau imbas balik, dia memang jarang bercerita tentang hidupnya. Itu kali pertama saya tahu.

Dia pernah cakap, ‘sebenarnya saya ini segan, bukan sombong.’ Dia kata dia malu, rasa kecil diri, selalu fikir ‘siapalah Dharma.’ Saya jawab, tak ada apa, biasa sahaja, tak perlu rasa rendah diri,” jelasnya

Mengimbas kembali memori lama, adik kepada penyanyi Anita Sarawak itu berkata dirinya dahulu terkenal dengan ketegasan di set penggambaran, namun arwah tetap menyimpan kenangan indah sepanjang bekerjasama.

Masa itu saya memang tegas, selalu tegur pelakon termasuk dia. Tapi dia selalu kata, banyak kenangan manis dengan saya,” kongsinya

Julai lalu, Noor sempat menziarahi Dharma bersama penyanyi dan penyampai Kool 101, Haiza Hanafi di kediamannya di Wangsa Maju.

Allahyarham Dharma, 68, ditemui meninggal dunia di kediamannya malam tadi. Berita duka itu dimaklumkan anak keduanya, Syafiq, melalui hantaran Instagram Story.

Jenazah selamat dikebumikan pada jam 12.30 tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh.

Lebih 100 orang hadir memberi penghormatan terakhir, termasuk ahli keluarga, rakan seni dan kenalan rapat.

Sebelum dikebumikan, jenazah diurus dan disolatkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai.

Allahyarham meninggalkan khazanah seni tidak ternilai buat industri perfileman tanah air termasuk legasi lakonan yang terus dirindui peminat dan rakan seperjuangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok