‘COACH cerai’ Mohd Izary Muhammed Ikhbal mengundang perhatian ramai apabila memberi bayangan kliennya yang juga seorang selebriti mendakwa dirinya mangsa keganasan rumah tangga.
Meski tidak berkongsi secara terperinci identiti selebriti tersebut, Izary mendedahkan sudah melihat beberapa bukti termasuk gambar yang ditunjuk kepadanya.
“Ini contoh, selebriti tunjuk muka dan badan lebam, ketika mengandung dipukul dan itu semua ada bukti.
“Saya juga melihat rakaman tetapi ini hanya contoh kalau ada klien begini.
Saya boleh beritahu, ada lebam, muka bengkak tetapi laporan polis belum dilakukan lagi sebab saya bukan individu yang patut menasihatkanya dalam hal tersebut,” katanya dalam podcast bersama Caprice baru-baru ini.
Tanpa menyebut nama, Izary berkata, individu dalam video tersebut mengeluarkan pelbagai kata cacian terhadap pasanganya.
Ujarnya, selebriti tersebut turut hadir ke kediamannya dan berkongsi banyak perkara, perbincangan antara mereka berlaku selama lapan jam.
“Ketika saya melihat video itu, terkandung kata makian.
Gambar juga ada banyak dan mungkin ketika itu tak mahu buat laporan polis sebab masih sayang dan sebagainya.
“Apa pun semua saya beritahu ini hanya contoh sahaja,” katanya lagi.
Meskipun tidak menyebut nama mana-mana selebriti dan menegaskan semua itu sekadar contoh, netizen mendakwa semua perkongsian Izary menjurus kepada kemelut rumah tangga pasangan selebriti popular yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
Sementara Caprice pula berpendapat sebarang kes melibatkan keganasan, laporan perlu dilakukan dan perkara tersebut sudah diklasifikasikan sebagai jenayah.
Sebelum ini, Izary menjadi bualan ramai apabila muncul menemani pelakon Uqasha Senrose di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada prosiding kedua perceraiannya dengan Kamal Adli. – HIBGLAM
