DALAM industri hiburan Korea yang penuh disiplin dan imej serba sempurna, wujud segelintir artis yang menjadi ‘happy virus’ (penghibur) di mana saja mereka melangkah.
Tidak kira di set penggambaran, program realiti mahupun acara besar, kehadiran mereka sudah cukup untuk menghidupkan suasana.
Terkenal dengan aksi spontan, gelak tawa dan personaliti yang tulus, artis seperti inilah yang sering menjadi pencetus riuh, mencairkan ketegangan dan membuat semua orang selesa berada di sekeliling mereka.
Mereka bukan sahaja popular kerana bakat tetapi punya aura positif yang mampu menceriakan suasana dalam sekelip mata dan itulah yang menjadikan mereka kesayangan ramai peminat serta rakan dalam industri.
Lee Kwang-soo

MUSTAHIL peminat program realiti Running Man tidak mengenali Lee Kwang-soo.
Boleh dikatakan dialah peserta paling kelakar dalam program tersebut sepanjang terlibat beratus episod.
Selain program popular tersebut, dia juga pernah membintangi beberapa drama dan paling melekat di hati penonton adalah watak sebagai Joo Suk dalam The Sound Of Your Heart.
Menerusi siri popular itu dia tampil sebagai lelaki lurus bendul yang buat penonton ketawa terbahak-bahak.
Menurut perkongsian kru produksi, Kwang-soo paling ceria di set penggambaran membuatkan suasana sentiasa meriah.
HaHa

SELAIN Kwang-soo, HaHa juga merupakan pengelola rancangan Running Man yang disayangi kerana keperibadiannya yang lucu.
Ada banyak momen membuatkan penonton tidak kering gusi, namun antara paling berbekas di hati penonton program itu adalah ketika HaHa tidak tahan mahu ke tandas.
Pada masa sama, dia perlu menyelesaikan cabaran iaitu menghancurkan tiga biji labu dengan cepat.
Selain itu, ada juga momen di mana HaHa tiba-tiba panik dan mahu menyorok selepas mengetahui salah seorang tetamu jemputan ialah Choi Min Soo yang terkenal dengan imej garang. Aksinya itu buat ramai terhibur.
Kim Young-chul

SIAPA tidak kenal pelawak Kim Young-chul yang popular dengan leluconnya menerusi rancangan aneka ragam Knowing Bros dan Infinite Challenge.
Bukan itu sahaja, dia juga dikenali sebagai selebriti yang berkebolehan membuatkan orang berbual dan meluahkan isi hati.
Selain lucu orangnya, Kim Young-chul juga dipuji kerana sikapnya yang sangat prihatin terhadap rakan sekerja.
Perkara itu dapat dilihat ketika dia membintangi filem The Technicians apabila menjalin hubungan baik dengan semua pelakon dan kru. Bahkan, dia disifatkan sebagai abang yang penyayang dan ambil berat keadaan orang sekeliling.
Lee Si-young

DALAM drama Sweet Home, pelakon Lee Si-young membawakan watak tegas.
Namun, jangan tertipu dengan karakter itu kerana dia merupakan antara selebriti yang sangat aktif dalam aplikasi TikTok.
Jika mengikuti media sosialnya, dia sering memuat naik video lucu berbentuk sketsa sehingga meraih jutaan tontonan.
Selain itu, dia juga pernah menyertai program Running Man menerusi episod 131.
Hadir sebagai tetamu undangan bersama seorang artis MMA iaitu Choo Sung-hoon, ramai kagum dengan kecerdasan Si-young serta karenah lucunya melayani Kwang-soo.
Lee Yi-kyung

NAMA pelakon Lee Yi-kyung mula dikenali dalam kalangan peminat antarabangsa menerusi drama Marry My Husband.
Namun, pelakon berusia 36 tahun itu sebenarnya pernah terlibat dalam beberapa projek lakonan termasuk Welcome To Waikiki dan Children Nobody.
Menurut perkongsian cerita kru produksi Marry My Husband, Yi-kyung dan pelakon gandingannya iaitu VIXX kuat berseloroh di set penggambaran.
Malah, ketika penggambaran, Lee Yi-Kyung sering melontarkan ad-lip spontan, antaranya dialog ‘Rasa macam nak mati’ semasa Park Min-young memberinya bubur. Keletahnya itu buat ramai terhibur. – HIBGLAM
