‘Macam mana sekalipun, dia tetap bapa anak-anak saya’

PENYANYI Adira tidak pernah berasa rimas dengan bekas suami, Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu yang sehingga kini dilihat masih menyimpan seribu satu impian untuk kembali memperisterikannya.

Adira, 24, atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi berkata, walau apapun terjadi, lelaki tersebut masih bapa kepada anak-anaknya dan perkara itu tidak boleh diubah.

Saya tak fikir sangat tentang reputasi atau rasa rimas (dengan dia).

“Macam mana sekalipun, dia (Adnan) tetap bapa kepada anak-anak saya. Tapi, untuk masa sekarang, saya dah ada kehidupan sendiri dan dia juga begitu,” katanya usai majlis pelancaran single baharu Gelas Memori bersama Fiq7.

Ujar penyanyi asal Ranau, Sabah itu lagi, dia belum terfikir untuk menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki buat masa sekarang kerana tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap karier, perniagaan dan anak-anak.

Saya sebenarnya tak fikir pun benda-benda itu (nak kahwin lagi), orang takut nak dekat ke atau nak mula kehidupan baharu.

“Sebab sejak bercerai dan bergelar ibu tunggal, saya dah sematkan dalam hati inilah kehidupan baharu bersama dengan anak-anak,” katanya.

Dijentik pertanyaan aliran nafkah daripada bekas suami, pelantun lagu Ku Ada Kamu itu memilih untuk tidak mengulas panjang.

Adira bagaimanapun berdoa agar bekas suami sentiasa dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki.

“No comment fasal hal itu (aliran nafkah). Tapi, saya sentiasa berdoa supaya rezeki dia murah.

Moga ada kemajuan dalam hidup dan harap apa yang dia nak dalam hidup tercapai.

“Saya tak nak susahkan dia. Kalau dia ada (duit), dia boleh bagi untuk anak-anak. Kalau tiada pun, tak mengapa sebab saya bukan jenis yang memaksa,” katanya lagi.

Adira dan Adnan sah bercerai talak satu April tahun lalu selepas sembilan tahun bergelar suami isteri.

Adira berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob yang kini berusia dua tahun.

Sejak bercerai, Adnan dilihat masih mengekalkan hubungan baik dengan Adira sehingga sering menimbulkan persepsi masih belum ‘move on’ daripada perkahwinan dengan penyanyi tersebut. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok