Mata Amira Othman nyaris buta gara-gara kanta lekap

PENYANYI, Amira Othman berdepan detik menakutkan apabila matanya hampir menjadi buta gara-gara tabiat memakai kanta lekap kerana masalah rabun.

Menerusi video yang dimuat naik penyanyi berusia 30 tahun itu dalam Instagram miliknya, Amira memberitahu telah pergi berjumpa dengan doktor selepas mengalami beberapa gejala pada bahagian matanya.

“Pertama sekali, kalau anda pakai kanta lekap seperti saya, memang patut risau. Kalau tak pakai, tidak perlu risau.

“Sebab kanta lekap boleh sebabkan pelbagai masalah tidak diingini pada mata. Saya mengalami masalah sakit pada mata sudah dua minggu. Mata jadi merah sehingga timbul urat (kemerahan),” kata Amira.

Ujar pemilik nama lengkap Nadia Amira Othman itu lagi, sebelum mengambil keputusan untuk berjumpa dengan pakar mata, dia menukar kanta lekap lama dengan yang baharu namun keadaannya tetap sama.

Malah, matanya juga menjadi sensitif apabila berair jika terkena cahaya.

“Keadaan mata tetap sama dan tidak bertambah baik walaupun dan pakai kanta lekap baharu. Bila pakai, mata tetap jadi merah dan gatal-gatal.

“Kadang-kadang kalau kena cahaya, mata akan jadi berair. Sebab itu saya ambil keputusan untuk melakukan pemeriksaan mata.

“Jadi, kepada anda semua, berhati-hatilah sebab kanta lekap bahaya,” ujarnya.

Dalam hantaran berbeza, penyanyi yang popular menerusi lagu Hati-Hati itu memaklumkan selepas berjumpa dengan doktor, dia telah dinasihati berhenti memakai kanta lekap sekurang-kurangnya sebulan hingga dua bulan.

“Doktor cakap kena berhenti pakai kanta lekap sekurang-kurangnya sebulan hingga dua bulan sebab mata sudah kekurangan oksigen.

“Mata ada keradangan. Kalau tidak dirawat boleh jadi ulser. Kalau tidak dijaga, boleh jadi buta ya rakan-rakan.

“Usahlah main-main dengan mata anda. Nasib baiklah pergi pakar. Kalau tak pergi, entahlah apa yang akan terjadi. Seram,” katanya.

Sekadar maklumat, menurut laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), kanta lekap ialah kepingan plastik nipis melengkung yang dilekapkan pada kornea mata.

Tujuan pemakaiannya adalah untuk membaiki masalah rabun atau terapeutik. Namun, ada juga yang memakai kanta lekap jenis berwarna untuk kelihatan lebih cantik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok