Agensi ‘peram’ RM18,000, Sharifah Haneesya ambil tindakan undang-undang

BAYARAN sebanyak RM18,000 diperam sebuah agensi, pelakon juga model, Sharifah Haneesya mengakui sering dibayangi kebimbangan ditipu setiap kali berurusan kontrak dengan orang tengah.

Sharifah Haneesya atau nama lengkapnya Sharifah Haneesya Hanee Syed Sahlan, 25, berkata isu bayaran tertunggak yang sepatutnya diterima Julai lalu turut mendorongnya menetapkan syarat tertentu sebelum bersetuju mewakili sesebuah jenama.

“Silap saya adalah kerana terlalu percayakan jenama tersebut, saya ambil mudah tentang perjanjian selain agensi yang menjadi ‘orang tengah’ bertindak melengah-lengahkan penyerahan kontrak.

Tidak terdetik pun saya berpotensi ditipu kerana jentera yang saya promosikan itu jenama besar dan dikenali ramai.

“Saya fikir tidak mungkin syarikat berkenaan tidak menyelidik latar belakang agensi yang difahamkan sebelum ini didakwa pernah melakukan penipuan membabitkan ramai artis dilaporkan.

Sekarang saya serik dan sebelum terima sebarang tawaran termasuk berlakon atau promosikan produk dan jenama, saya letakkan syarat, tuntut agensi lunaskan dahulu bayaran sebagai antara syarat perjanjian,” katanya pada malam gala filem Malam Terlarang, baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkembangan kes tersebut, dia kini sudah membuat laporan polis selain menyerahkan urusan tuntutan kepada peguam yang dilantik.

Peguam ada menghantar notis tuntutan (LOD) kepada agensi berkenaan namun pihak mereka mengembalikan semula notis tersebut.

“Sebenarnya saya buntu apatah lagi turut dipersalahkan pengeluar kereta berkenaan apabila saya rujukkan isu bayaran kepada mereka.

Mereka macam lepas tangan dan menyalahkan saya kerana berurusan dengan agensi yang salah, walhal agensi itu adalah orang tengah yang dipilih mereka sendiri bagi mencari pempengaruh dan artis.

“Apa pun proses guaman masih berjalan dan saya serahkan semua urusan kepada peguam. Kalau ada rezeki, adalah. Doakan saya,” ujarnya.

Mengenai Malam Terlarang pula, Sharifah Haneesya teruja kerana naskhah itu merupakan penampilan pertamanya di layar perak.

Saya bersyukur dapat lakukan semua aksi lasak sendiri kerana watak saya boleh dikatakan mencabar terutama perlu tergantung serta memakai kostum kepala seberat beberapa kilogram. Memang mencabar,” katanya.

Malam Terlarang terbitan Astro Shaw dan Infinitus Productions itu turut dibintangi Zul Ariffin, Sofea Jane, Hasnul Rahmad, Shasha Abedul, Amir Nafis, Sabri Yunus dan Normah Damanhuri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok