MAHU melihat kasih bertaut kembali, ruangan komen di laman sosial pelakon, Uqasha Senrose dibanjiri kata-kata manis netizen yang mengirimkan titipan salam rindu mewakili suaminya, Kamal Adli.
Tindakan itu dipercayai susulan permintaan aktor tersebut yang berharap orang ramai menyampaikan sayang serta kerinduan terhadap isterinya selepas prosiding sebutan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.
Selepas video itu tular, ramai pengguna media sosial mula membanjiri beberapa hantaran Uqasha dengan pelbagai komen positif termasuk doa agar pasangan terbabit dapat berdamai.
“Kamal pesan, kamal sayang Uqasha. Janganlah emosi sangat. Bersyukurlah, Uqasha sebab Kamal masih sayangkan awak dan mahu selamatkan rumah tangga itu,” kata netizen.
“Hai Uqasha sayang. Saya datang nak sampaikan pesan Kamal. Kamal sayang Uqasha. Semoga Allah campakkan semula rasa rindu dan kasih sayang di hati kalian berdua serta dikurniakan rumah tangga bahagia hingga ke jannah,” tulis seorang pengguna lain.
Semalam, mahkamah menetapkan 19 November depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan semula kes perceraian mereka.
Difahamkan, kes tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, iaitu permohonan perceraian dengan alasan tiada persefahaman antara suami isteri.
Kamal yang ditemui di mahkamah menegaskan masih mahu berusaha memujuk dan mempertahankan rumah tangganya selain menolak dakwaan mengasari isteri mahupun berlaku curang.
Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang berusia 18 bulan. – HIBGLAM
