PELAKON Kamal Adli menyeru semua pihak agar tidak menunding jari atau menyalahkan isterinya, Uqasha Senrose sepanjang berhadapan kemelut rumah tangga.
Pada masa sama, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, juga berharap orang ramai meninggalkan komen baik dalam Instagram Uqasha sebagai langkah memujuk hati isterinya.
“Saya mohon sangat pada semua netizen, tolong jangan tulis apa-apa yang tak elok mengenai isteri saya.
Dia penat kerja, stres dan saya faham benda itu. Terlalu berat sebenarnya untuk dia dan untuk saya nak hadap semua ini.
“Kalau nak kutuk, kutuk saya sahaja. Jangan streskan dia, tolong ya.
Kalau nak tulis dekat media sosial pun, tulislah yang manis-manis saja. Jangan tambah tekanan pada dia, saya mohon sangat,” katanya kepada HibGlam, hari ini.
Dalam nada sebak, pelakon drama Dia Imamku itu menjelaskan kehadirannya ke mahkamah untuk menyelesaikan konflik rumah tangga bukan sesuatu perkara mudah untuk dihadapi.
“Tak tahulah, benda ini betul-betul bagi impak pada perasaan saya sekarang ini bila ada kat bilik itu tadi. Saya rasa tak seronok langsung.
Saya nak bagi tahu yang saya dekat sini sebab nak selamatkan rumah tangga saya. Saya sayangkan isteri dan anak saya sangat-sangat. Tak nak apa-apa jadi sebenarnya.
“Apa yang jadi hari ini, kenapa saya ada kat sini, saya letak semua ini atas salah saya sendiri,” ujarnya.
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan tarikh 19 November bagi prosiding ketiga perceraian Kamal dan Uqasha.
Terdahulu, rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu.
Uqasha Senrose dan Kamal Adli sah bergelar suami isteri pada 4 November 2021 di Janda Baik, Pahang.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan. – HIBGLAM
