‘Mereka tawar bayaran lumayan, saya tolak demi Gaza’

Oki Setiana Dewi rela tolak tawaran lumayan demi perjuangan Gaza

TEGUH dengan pendirian, pelakon Indonesia Oki Setiana Dewi sanggup menolak beberapa tawaran kerja dengan bayaran lumayan yang dikaitkan dengan produk atau syarikat berkepentingan Israel sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Menurut Oki, 36, keputusan tersebut dibuat atas kesedaran peribadi untuk terus istiqamah menyokong Palestin walaupun terpaksa berhadapan dengan kehilangan peluang besar dalam kerjaya.

“Banyak tawaran kerja (berkaitan Israel) terpaksa saya tolak walaupun bayaran yang ditawarkan sangat tinggi, dengan alasan yang sama.

Sebagai seorang manusia biasa, kalau ditanya sama ada saya perlukan wang, ya sudah tentu. Saya juga ada tanggungjawab seperti membayar yuran sekolah anak-anak dan keperluan hidup yang lain tetapi saya tidak mampu menipu diri sendiri.

“Dalam hati, saya sangat ingin membantu dan menyokong Gaza, cuma saya tidak tahu bagaimana caranya. Jadi, saya hanya lakukan apa yang termampu,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan filem Hayya 3: Gaza, baru-baru ini.

Tambah pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih itu, meskipun pendiriannya menyokong Gaza sudah diketahui ramai, masih ada pihak masih menawarkan pekerjaan dengan imbuhan tinggi.

“Sebenarnya, mereka semua sudah tahu bahawa saya berada di pihak yang menyokong Gaza. Namun begitu, ada beberapa tawaran kerja yang datang kepada saya dengan bayaran yang sangat lumayan.

Mungkin kerana mereka melihat saya sebagai seorang figura Islam, jadi mereka rasa sesuatu yang baik untuk melibatkan saya.

“Walaupun mereka tahu pendirian saya yang menyokong Gaza, mereka tetap menawarkan pekerjaan-pekerjaan tersebut,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Oki terlibat dalam filem Hayya 3: Gaza yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia pada 30 Oktober ini.

Selain Oki, filem yang diarahkan Jastis Arimba terbita Warna Pictures & 786 Productions tersebut turut dibintangi Amna Shahab, Azamy Shauqi, Cut Syifa dan Adhin Abdul Halim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok