Heboh! Giliran Uqasha, Kamal panjat mahkamah

NAMPAKNYA  musim rumah tangga selebriti tanah air berantakan sehingga hendak bercerai-berai kembali menghangatkan suhu industri hiburan.

Jika dua minggu lalu kita dikejutkan dengan perceraian penyanyi dan komposer Amylea yang sudah pun tamat tempoh idah.

Kemudian minggu lalu kecoh dengan kisah penyanyi Nubhan yang didakwa sudah dua kali melafazkan talak terhadap isterinya, terbaharu pada Ogos lalu selepas 10 tahun usia perkahwinan, ternyata bahagia yang ditayangkan mereka tidak semanis madu.

Siapa sangka pasangan yang sebelum ini sering dipuji ramai dek kemesraan yang dipaparkan dalam media sosial rupa-rupanya ada retak sedang menanti belah.

Lebih mengejutkan ramai, lafaz talak yang dibuat di dalam kereta itu merupakan lafaz talak yang kedua selepas kali pertama ketika isterinya sedang hamil anak sulung mereka.

Ketika kes penceraian Nubhan masih lagi hangat diperkatakan ramai, dunia hiburan dikejutkan pula dengan kes perceraian pasangan pelakon popular iaitu Uqasha Senrose dan Kamal Adli.

Uqasha hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Pada 22 Oktober lalu selepas memfailkan perceraian terhadap suaminya pada 1 Oktober.

Sehari sebelum tarikh prosiding pertama kes penceraian mereka, Uqasha yang ditemui semasa hadir ke program MeleTOP enggan memberikan komen tentang kemelut rumah tangganya dengan alasan sakit tekak.

ASYIK merintih dalam media sosial, kehadiran Uqasha ke mahkamah untuk sebutan pertama tuntutan cerai yang difailkan pada 1 Oktober lalu meleraikan tanda tanya tentang suhu perkahwinannya dengan Kamal.

Ketika ditemui di mahkamah, peguam yang mewakili Uqasha iaitu Nurfarhana And Manaf mendedahkan punca utama anak guamnya memfailkan perceraian terhadap Kamal adalah kerana sudah tiada persefahaman.

“Memang betul pihak plaintif memfailkan perceraian pada 1 Oktober dengan alasan tiada persefahaman Seksyen 47. Untuk alasan yang lebih kita tidak boleh ulas di sini.

“Bukan mudah untuk seseorang membuat keputusan memfailkan perceraian. Apabila sudah terdetik rasa tidak lagi mampu teruskan perkahwinan, barulah kita akan buat keputusan.

“Disebabkan pihak defendan tidak hadir untuk prosiding pertama ini, kes ditangguhkan sehingga 28 Oktober,” katanya.
Nurfarhana juga memberitahu setakat ini tiada usaha memujuk yang dilakukan pihak defendan terhadap anak guamnya.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya tiada sebarang usaha memujuk. Kita serahkan kepada jodoh. Kalau ada, adalah. Kalau tak ada inilah pengakhiran untuk Uqasha.

“Kita tengok 28 Oktober nanti macam mana pendirian pihak defendan sama ada setuju atau tidak untuk lafaz cerai,” ujarnya.

Tidak hadir

Sementara itu, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, berkata, keadaannya kini okey sahaja, namun mengharapkan Kamal memberi kerjasama dengan hadir ke mahkamah agar masalah rumah tangga mereka dapat diselesaikan.

“Saya harap dia datang ke mahkamah. Jangan buat orang macam ni. Saya pun ada kerja saya,” katanya.

Diminta mengulas tentang hantaran yang dibuat Kamal dalam media sosial menyatakan bahawa dia masih menyayanginya, kata Uqasha hantaran itu baru sahaja dibuat beberapa hari lalu. Sedangkan dia sudah memfailkan perceraian sejak 1 Oktober.

Terdahulu rumah tangga pasangan ini dikatakan mulai bergolak sejak April lalu. Difahamkan, Uqasha tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan kini menetap di rumah ibunya.

Sebelum ini, beberapa hantaran berupa luahan hati Uqasha mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang mengaitkan hantaran tersebut dengan situasi rumah tangga yang mungkin sedang bergolak.

Uqasha Senrose dan Kamal Adli sah bergelar suami isteri pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok