‘Sudah setahun saya bertahan demi anak’

BERSABAR sebab anak? Sebab itulah sudah setahun saya bertahan”

Demikian ujar pelakon Uqasha Senrose yang akhirnya membuka sedikit ruang tentang kisah rumah tangganya bersama suami, aktor Kamal Adli, selepas memfailkan perceraian, semalam

Menurut Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, keputusannya bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas tempoh panjang mempertahankan mahligai cinta mereka demi anak tersayang.

Bersabar untuk anak? Ya, kerana anaklah saya bertahan selama setahun,” katanya dalam TikTok.

Mengulas lanjut, bintang filem Bisikan Dosa itu tidak menafikan rumah tangganya dilanda badai hebat, namun menganggap apa yang berlaku sebagai ujian daripada Tuhan.

Malah, dia enggan membuka aib sesiapa dan memilih untuk berdiam selain menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi.

“Betul ini dugaan, dugaan untuk diri saya. Sudah bahagian saya begini. Setiap manusia tidak akan henti diuji, cuma bentuk ujiannya berbeza.

Dah terlalu masak dan terlampau masak, terserah kepada kalian (netizen). Saya tidak pernah berniat mahu membuka aib sesiapa. Mata saya pun sampai nampak lain sebab banyak menangis,” ujarnya.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh baharu bagi prosiding kes perceraian antara pasangan tersebut selepas pihak defendan, Kamal, tidak hadir pada prosiding pertama yang berlangsung semalam.

Difahamkan, Uqasha memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu, di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada lagi persefahaman.

Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, berusia 1 tahun enam bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok